Malaysia negara neutral karbon 2050

Kerajaan akan bersama-sama pihak swasta bagi menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050. - Foto 123RF
Kerajaan akan bersama-sama pihak swasta bagi menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan bersama-sama pihak swasta bagi menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050.

Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob berkata, bagi menyokong usaha ini, instrumen ekonomi seperti 'carbon pricing' dan cukai karbon akan diperkenalkan.

Beliau berkata, perincian langkah-langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan setelah kajian strategi pembangunan jangka panjang rendah karbon dimuktamadkan pada akhir tahun 2022.

“Bagi tujuan ini, kerajaan telah memberi komitmen untuk tidak lagi membina loji janakuasa arang batu yang baharu.

“Saya sedar ini memerlukan usaha yang bersepadu serta komitmen dan pelaburan hijau yang tinggi, namun saya yakin dengan penglibatan Keluarga Malaysia dan aspirasi ini bukanlah angan-angan kosong.

“Komitmen ini akan memastikan Malaysia seiring dengan usaha negara lain untuk mencapai matlamat global dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan daya saing negara,” katanya semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, dalam usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan mampan, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) akan diiktiraf sebagai rakan pembangunan.

Menurutnya, peranan CSO akan diinstitusikan dalam pelbagai mekanisme tadbir urus, terutama dalam pelaksanaan dan pemantauan program pembangunan pada peringkat akar umbi bagi mencapai Agenda 2030.

Artikel Berkaitan:

“Dasar Tenaga Negara yang komprehensif juga akan diperkenalkan untuk menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon.

“Penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksana melalui pengoperasian beberapa loji janakuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji jana kuasa arang batu,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, akta berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga akan diperkenalkan bagi mengawal selia penggunaan tenaga oleh pengguna berintensiti tinggi dalam sektor industri dan komersial.

Katanya, model ekonomi kitaran akan dilaksana di bawah RMK12 bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli.

“Konsep tanggungjawab pengeluar akan dipergiatkan bagi meningkatkan pelaksanaan penggunaan dan pengeluaran mampan.

"Selain itu, pelaburan hijau juga akan terus digalakkan, termasuk untuk projek di bawah pendekatan kerjasama awam dan swasta serta GLC,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, pembangunan bandar hijau yang berdaya tahan akan terus dipergiat dengan 120 bandar disasarkan mencapai status bandar mampan.

“Bagi tujuan ini, pelaksanaan inisiatif Pelan Tindakan Bandar Hijau dan sistem analitik data raya pelbagai dimensi akan diperkenalkan.

"Kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) bagi menyokong inisiatif mobiliti mesra alam," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!