Bekalan subsidi baja padi mencukupi

Salahuddin (tiga kanan) melihat baja NPK yang akan diserahkan kepada pesawah.
Salahuddin (tiga kanan) melihat baja NPK yang akan diserahkan kepada pesawah.
A
A
A

KAMPUNG GAJAH - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) beri jaminan bekalan dan pemberian subsidi baja padi mencukupi serta tidak lewat diserahkan pada musim akan datang.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kelewatan penyerahan beberapa jenis baja dan racun di bawah subsidi baja padi musim ini berlaku, kerana kementeriannya menunggu kelulusan peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan (MOF).

"Hari ini kita sampaikan lebihan sebahagian baja dan racun yang sepatutnya kita hantar lebih awal, tetapi berlaku penangguhan sedikit kerana kita seharusnya dapatkan kelulusan daripada ak MOF.

"Alhamdulillah perkara ini dapat diselesaikan semalam (kelmarin), maka dengan itu tidak timbul isu pesawah padi dapat kurang daripada apa yang mereka dapat sebelum ini," katanya kepada pemberita pada sidang media, selepas Program Serahan Baja Tambahan NPK dan Racun, di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seberang Perak, di sini.

Salahuddin juga memberi jaminan kepada 322,000 pesawah di seluruh negara bahawa subsidi baja dan racun yang belum diterima pada musim ini akan diagihkan selewat-lewatnya menjelang minggu hadapan.

Menurutnya kelewatan dalam pemberian input tersebut adalah disebabkan oleh penantian kelulusan khas dari MOF untuk menyambung kontrak Skim Insentif Pengeluaran Padi kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

“Jadi saya harap kita dapat pastikan bekalan mencukupi dan lebih bersedia pada musim akan datang dan tidak lagi menimbulkan isu kononnya kerajaan baru telah memotong subsidi kepada pesawah kita,” katanya.

Salahuddin turut memberi jaminan bahawa kementeriannya serius dalam menambah jumlah peruntukan sedia ada pada masa akan datang dalam usaha membantu meningkatkan taraf ekonomi para pesawah di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis tersebut, sebanyak 53,708 beg bantuan baja tambahan NPK dan racun bernilai keseluruhan RM1,705,845.48 untuk keperluan 4,270 petani di kawasan Seberang Perak akan diagihkan oleh PPK kawasan.

Sementara itu, salah seorang pesawah yang menerima subsidi baja padi, Mohd Razali Yahya, 40, melahirkan rasa lega apabila menerima bantuan baja dan racun kerana kerana dia terpaksa mengeluarkan duit sendiri kira-kira RM800 untuk membeli racun untuk kegunaan sawahnya seluas empat hektar.

“Sebelum ini memang ada kelewatan tetapi kita tahu input itu tetap akan datang. Tetapi kali ini tak tahu apa status. Kita dah tanya PPK tapi mereka pun tidak tahu sebarang jawapan sebab tiada berita daripada kementerian,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!