Masih ada ibu bapa belum sedia benarkan anak divaksin

Hang Soon berbual dengan pelajar yang selesai menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Isnin.
Hang Soon berbual dengan pelajar yang selesai menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon memberitahu, terdapat segelintir ibu bapa yang masih belum bersedia membenarkan anak mereka menerima vaksin Covid-19.

Walau bagaimanapun katanya, perkara tersebut tidak begitu serius, memandangkan proses vaksinasi terhadap remaja berusia 12 hingga 17 tahun ini masih lagi berjalan.

"Memang ada ibu bapa yang masih belum bersedia membenarkan anak mereka divaksin, tetapi jumlah itu tidak ramai dan kita juga masih tidak mempunyai data mereka (ibu bapa) yang tidak membenarkan anak mereka divaksin.

"Proses vaksinasi remaja ini masih lagi di peringkat awal, banyak perkara yang kita masih lihat. Ada ibu bapa yang pada mulanya enggan, tetapi setelah diberi penerangan dan kepentingan vaksin, mereka mula terbuka, lalu benarkan anak divaksin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) membabitkan pelajar sekolah, di sini pada Isnin.

Tambahnya, ibu bapa yang masih ragu-ragu boleh datang ke kaunter kaunseling yang disediakan di PPV bagi mendapatkan maklumat serta penerangan yang lebih tepat mengenai kepentingan vaksin untuk anak-anak.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, rata-rata pelajar yang ditemui di PPV seluruh negara, rasa teruja serta tidak sabar untuk meneruskan persekolahan secara bersemuka.

"Hebahan berhubung vaksinasi perlu dipergiatkan bagi menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak mendapatkan suntikan vaksin demi keselamatan ketika mengikuti pembelajaran di sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, kita tidak menerima laporan berkenaan kesan sampingan akibat vaksin terhadap pelajar sekolah, bagaimanapun, jika ada pelajar yang mengalami kesan sampingan, sila ke hospital berdekatan untuk terima rawatan," katanya.

Setakat Ahad, sebanyak 33.3 peratus pelajar sekolah berumur 12 hingga 17 tahun menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19, manakala 4.5 peratus telah menerima dos lengkap.

Bagi Negeri Sembilan pula, sebanyak 26 peratus telah menerima dos pertama dan 4.7 peratus telah selesai dos kedua.

Pembukaan sekolah akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 3 Oktober ini, khususnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!