Kedah teroka sektor Pelancongan Perubatan

Mohd Asmirul (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Abdul Wahab (kanan) dan Nazaruddin (kiri) selepas menandatangani MoU.
Mohd Asmirul (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Abdul Wahab (kanan) dan Nazaruddin (kiri) selepas menandatangani MoU.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah bakal membangunkan sektor pelancongan perubatan di tanah besar dalam usaha menarik kemasukan pelancong ke negeri itu, berbanding hanya bertumpu ke Langkawi.

Exco Pelancongan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, hasrat itu direalisasikan menerusi pembinaan sebuah hospital swasta untuk menjadikan bandaraya Alor Setar sebagai destinasi pilihan pelancongan perubatan.

Menurutnya, bagi memastikan impian menjadikan Bandaraya Alor Setar sebagai Bandaraya Pelancongan Perubatan/Umrah dan Hub Kargo Udara, kerja-kerja awal pembinaan hospital itu dijangka bermula hujung tahun ini.

“Syarikat Bumi Barakah Development Sdn. Bhd. telah memperolehi kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia untuk bina hospital dengan kapasiti 180 katil, dengan kerjasama Mahsuri Medical Center (MMC) dan beberapa pihak lain,” katanya, pada sidang media, hari ini.

Mohd Asmirul Anuar berkata, pemilihan lokasi hospital berkenaan berdekatan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dan Tabung Haji Hotel & Convention Center adalah kerana kerajaan negeri mahu melonjakkan sektor pelancongan tanah besar.

“Kita ingin beri tumpuan kepada tanah besar walaupun Langkawi yang jadi tumpuan pelancong. Sudah tiba masanya kita majukan tanah besar pula,” katanya.

Menurutnya, bagi membantu merancakkan pelancongan di Kedah, semua 12 daerah di negeri ini digalakkan menyediakan pakej pelancongan menarik dan unik untuk diperkenalkan kepada pelancong yang mendapatkan khidmat perubatan di hospital tersebut.

Terdahulu, Mohd Asmirul Anuar menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Bumi Aviation Sdn.Bhd./Bumi Barakah Development Sdn.Bhd, diwakili Pengarah Urusan Bumi Aviation Sdn Bhd, Abdul Wahab Mat Isa dengan BCS Contract Supply & Service Sdn. Bhd, diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Nazaruddin Mohd.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, Bumi Aviation Sdn. Bhd. dan rakan kongsi, Sri Libana Sdn. Bhd. telah bekerjasama merealisasikan sektor hub kargo udara dan kemudahan minyak kapal terbang di negeri ini.

“Kami berpengalaman mengendalikan penerbangan sewa khas Sriwijaya Air dari Indonesia bagi laluan Alor Setar-Medan-Alor Setar, ini memudahkan lagi urusan membawa masuk pesakit dari Indonesia bagi mendapatkan rawatan di Alor Setar,” katanya.

Menurutnya, sekiranya kerjasama itu berjaya dilaksanakan ia memberi impak besar kepada sosial dan ekonomi penduduk di bandaraya ini, selain menawarkan peluang pekerjaan.

“Kita anggarkan tempoh untuk menjayakan projek kargo udara selama satu setengah tahun, manakala dua tahun untuk pelancongan perubatan,” katanya.

Abdul Wahab yakin kedudukan Alor Setar di tengah-tengah segi tiga utara (IMTGT) yang bersempadan dengan Thailand, Pulau Pinang, Langkawi dan Pulau Sumatera dengan sasaran 50 juta penduduk bakal menjadi pemangkin kepada usaha terbabit.

Pada November tahun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia mampu menjadi pusat pelancongan perubatan melalui usaha pelbagai pihak dalam industri perubatan dalam negara, sekaligus menjadi penyumbang pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!