RMK12 tumpu sembilan fokus utama

RMK12 ini digubal ketika dunia sedang mengharungi cabaran getir pandemik Covid-19.- Gambar hiasan
RMK12 ini digubal ketika dunia sedang mengharungi cabaran getir pandemik Covid-19.- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bertemakan Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ketika membentangkan hala tuju strategik bagi tempoh 2021-2025 itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan fokus utamanya adalah aspek pemulihan ekonomi untuk membolehkan semua pihak menikmati taraf hidup yang lebih baik

RMK12 itu mengandungi sembilan fokus utama iaitu Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi; Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan; Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia; Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam serta Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan.

Fokus utama lain adalah Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia; Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun; Mempercepat Pertumbuhan Hijau serta Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Memastikan Pelaksanaan Dasar yang Berkesan.

"RMK12 ini digubal ketika dunia sedang mengharungi cabaran getir pandemik Covid-19. Ramai dalam kalangan kita, Keluarga Malaysia yang terkesan.

"Dalam persekitaran dan kebiasaan baharu ini, ada yang hilang nyawa dan pekerjaan. Demi kelangsungan hidup, ada antara kita yang terpaksa menceburi bidang kerja yang baharu atau melakukan dua pekerjaan dalam satu masa.

"Marilah kita berdoa, semoga usaha membendung pandemik ini dirahmati, dan situasi ini dapat ditangani serta berakhir dengan segera," katanya.

Menurutnya, hampir dua tahun negara dan seluruh dunia menghadapi krisis kembar kesihatan dan ekonomi terburuk akibat pandemik Covid-19. Dalam tempoh itu, para petugas di barisan hadapan telah berusaha memerangi pandemik dengan semangat tinggi tanpa mengira penat lelah.

Artikel Berkaitan:

"Kita semua terhutang budi kepada petugas barisan hadapan yang komited melaksanakan tanggungjawab memerangi kemelut pandemik ini.

"Jutaan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, anda adalah wira Keluarga Malaysia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!