Anak parah dipukul bapa guna tukul
PARIT BUNTAR - Seorang wanita parah selepas dipukul bapanya menggunakan tukul besi dianggarkan seberat 1.4 kilogram dalam satu kejadian di sebuah rumah di Parit Sungai Melan, Kuala Kurau, semalam.
Kejadian antara jam 5.30 petang hingga 6.30 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 24 tahun sedang membaca al-Quran sementara bapanya baru pulang dari tempat kerja.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada orang awam sekitar jam 7.25 malam.
Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, mangsa yang sedang mengaji didatangi bapanya yang secara tiba-tiba bertindak memukul mangsa di beberapa bahagian kepala menggunakan tukul pemecah dinding.
"Siasatan awal kita mendapati, bapa mangsa berusia 58 tahun dan bekerja sebagai tukang rumah itu bertindak demikian kerana mangsa masih belum mendapat pekerjaan walaupun telah memperolehi ijazah dalam jurusan akauntan," katanya.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa cedera di kepala sementara bapanya yang menyesal bertindak mencederakan diri dengan menghantukkan kepala ke dinding rumah menyebabkannya menerima lima jahitan di kepala.
"Lelaki itu turut mengalami keretakan pada tulang tapak tangan kiri, dia bagaimanapun berjaya ditahan polis ketika menerima rawatan di Hospital Parit Buntar," katanya.
Omar Bakhtiar berkata, mangsa yang mengalami kecederaan serius kesan hentakan dan pukulan kini dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
"Perintah reman terhadap bapa mangsa akan dipohon hari ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.
Sinar Harian difahamkan, sejurus selepas kejadian, bapa mangsa cuba bertindak melarikan diri menggunakan motosikal, namun terbabas dan melanggar sebuah kedai.
Dia yang dibawa menerima rawatan di Hospital Parit Buntar kemudiannya ditahan polis di hospital berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!