Cubaan curi gamat gagal, dua bot nelayan Vietnam ditahan

Syed Nor Adli (kiri) memeriksa nelayan asing Vietnam yang menceroboh dan 'merompak' hasil negara dalam dua serbuan berasingan di perairan negeri ini, pada Isnin.
Syed Nor Adli (kiri) memeriksa nelayan asing Vietnam yang menceroboh dan 'merompak' hasil negara dalam dua serbuan berasingan di perairan negeri ini, pada Isnin.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan kapal Vietnam yang menceroboh dan 'merompak' hasil negara dalam dua serbuan berasingan di perairan negeri ini pada Sabtu.

Serbuan pada jarak 54 dan 56 batu nautika dari Muara Tok Bali itu melibatkan rampasan dua bot, diesel sebanyak 10,000 liter dan peralatan menangguk gamat yang dianggarkan berjumlah RM600,000.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, semasa melakukan rondaan menerusi Op Kuda Laut pada jam 3.29 petang, pihaknya telah mengesan kedua-dua bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

"Pihak kami mengambil masa lebih kurang satu jam setengah untuk memintas dan menahan kedua-dua bot tersebut.

"Semasa cuba menahan kumpulan nelayan asing itu, kedua-dua bot bertindak melepaskan tali ke dalam air serta meletakkan besi penghadang di sisi bot mereka bagi menghalang tugas anggota Maritim Malaysia Kelantan," katanya semasa sidang akhbar di Jeti Maritim Malaysia Kelantan, Tok Bali di sini pada Isnin.

Menurutnya, bot tersebut cuba melarikan diri menuju ke sempadan perairan Thailand namun berjaya dipintas dan ditahan di kedudukan lebih kurang tiga batu nautika daripada sempadan perairan Thailand.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot pertama yang ditahan pada jam 5.07 petang mendapati bot dikendalikan lima kru termasuk tekong, manakala bot kedua ditahan pada jam 5.35 petang dikendalikan empat kru termasuk tekong.

Katanya, kesemua sembilan kru termasuk dua tekong merupakan warga Vietnam berumur dalam lingkungan 24 hingga 53 tahun.

Artikel Berkaitan:

Syed Nor Adli berkata, pemeriksaan mendapati tiada sebarang hasil laut ditemukan di atas kedua-dua bot tersebut.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua bot dipercayai baharu sahaja masuk ke perairan negara dan belum sempat melakukan kegiatan menangguk gamat.

"Pemeriksaan juga mendapati kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985," katanya.

Menurutnya, kesemua kru termasuk tekong juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!