Kerajaan cadang tubuh platform satukan bantuan
SHAH ALAM - Kerajaan bercadang menubuhkan satu platform baharu sebagai data pusat untuk menyatukan kesemua bantuan yang diberikan kepada penerima.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, terdapat pelbagai bantuan diberikan oleh kementerian yang berbeza menyebabkan berlaku pertindihan.
Menurutnya, platform tersebut dijangka dibangunkan pada hujung Oktober depan sebagai rujukan sebelum menyampaikan bantuan.
“Platform ini menyatukan kesemua bantuan yang diterima oleh individu. Sekarang ini tiada data pusat yang terlibat dari segi bantuan membabitkan kementerian.
“Sebelum ini mungkin ada pertindihan bantuan dan terlepas pandang. Jadi selepas ini kita harap dapat murnikan kaedah bantuan ini,” katanya pada sidang media selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mustapa Mohamed berkata, kira-kira RM25 bilion telah dibelanjakan setiap tahun dalam menyalurkan bantuan termasuk kebajikan, biasiswa, subsidi dan sebagainya kepada mereka yang memerlukan.
Tambahnya, walaupun dalam pandemik Covid-19, kerajaan akan sentiasa bertanggungjawab terhadap rakyat yang tidak bekerja, terlantar sakit dan juga orang kelainan upaya (OKU).
“Sudah jadi tanggungjawab kerajaan bagi mereka yang tidak bekerja, terlantar, OKU. Kerajaan bela kepentingan mereka,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!