Pemilik syarikat didenda RM20,000 longgokkan sampah

Pemilik syarikat JJML Enterprise (dua dari kiri) didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas kesalahan melonggokkan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran tiga tahun lalu. -Foto ihsan SWCorp
Pemilik syarikat JJML Enterprise (dua dari kiri) didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas kesalahan melonggokkan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran tiga tahun lalu. -Foto ihsan SWCorp
A
A
A

SEREMBAN - Pemilik sebuah syarikat didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas kesalahan melonggokkan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas pemilik syarikat JJML Enterprise, G Durmono, 40, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan rayuan tertuduh, mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM20,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun, tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal perindustrian tanpa kebenaran kira-kira jam 2.45 petang, 26 Oktober 2018, di Lot 2384, Jalan IKBN, Mukim Pedas Rembau.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 71(8) akta sama yang mana denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nor Iffa Zarilla Abd Rahman manakala tertuduh diwakili Firma Guaman Ramasany & Co.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!