'Haramkan guna beg plastik pada hujung minggu'

Kerajaan Selangor disarankan untuk mengharamkan penggunaan beg plastik pada hujung minggu untuk menyokong inisiatif kerajaan negeri bagi mengurangkan penggunaannya.- Gambar hiasan (Gambar kecil: Zakaria)
Kerajaan Selangor disarankan untuk mengharamkan penggunaan beg plastik pada hujung minggu untuk menyokong inisiatif kerajaan negeri bagi mengurangkan penggunaannya.- Gambar hiasan (Gambar kecil: Zakaria)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor disarankan untuk mengharamkan penggunaan beg plastik pada hujung minggu untuk menyokong inisiatif kerajaan negeri bagi mengurangkan penggunaannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Zakaria Hanafi berkata, langkah tersebut merupakan cara yang sama digunakan ketika kerajaan Selangor memperkenalkan caj beg plastik sebanyak 20 sen di pasar raya dan kedai runcit pada hari minggu beberapa tahun lalu.

Katanya, selain itu, rakyat juga perlu sentiasa diingatkan tentang kepentingan menjaga alam sekitar secara berterusan menerusi pengurangan penggunaan beg plastik yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan dan keindahan alam.

“Bagi saya untuk mendidik ini ada dua cara, iaitu penyaluran informasi terutamanya di peringkat sekolah supaya rakyat mempunyai rasa bertanggungjawab untuk menjaga alam sekitar.

“Kalau kita betul-betul mahu kurangkan penggunaan beg plastik, lebih elok jangan gunakan terus kerana walaupun kerajaan menetapkan caj sebanyak 20 sen, orang akan tetap membayar caj tersebut disebabkan nilainya tidak sama seperti dulu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, kerajaan Selangor boleh melaksanakan pengharaman beg plastik pada setiap hujung minggu secara berperingkat, bermula dengan pasar raya besar dan seterusnya kedai runcit di seluruh negeri tersebut.

Ujarnya, walaupun akan muncul rakyat yang tidak puas hati dan terbeban dengan pelaksanaan tersebut, namun ia akan membentuk satu norma baharu dalam kalangan rakyat Selangor pada masa akan datang.

“Mula-mula kita hadkan kepada Sabtu dan Ahad sahaja, beri masa dalam dua tahun dan sepanjang tempoh itu, kerajaan perlu memberi didikan kepada rakyat tentang bahaya penggunaan beg plastik kepada alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

“Pelaksanaan pada peringkat awal akan sedikit sukar untuk diterima dan terlupa, tapi lambat-laun mereka akan terdidik dan terbiasa dengan budaya ini.

“Kalau dulu, kita tertinggal telefon pintar di rumah, kita sanggup berpatah balik untuk mengambilnya kerana ia satu keperluan dan kewajipan, sama seperti penggunaan beg kitar semula ini,” katanya.

Pada Ahad, kerajaan negeri Selangor mengumumkan akan mengkaji semula caj beg plastik yang dikenakan di negeri itu jika jumlah kutipan caj beg plastik terus meningkat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, peningkatan tersebut dibuat sebagai penegasan kerajaan negeri terhadap pengurangan penggunaan beg plastik dalam kalangan rakyat Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!