'Harap PM betulkan tiga kesilapan dilakukan PH'

Shahrir Samad
Shahrir Samad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mengharapkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memperbetulkan tiga perkara dilakukan semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah yang didakwa merugikan negara khususnya Johor.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu berkata, pertama ialah pembesaran Lebuhraya Utara Selatan dari empat menjadi enam lorong dari Ayer Hitam, Kluang ke Johor Bahru seperti dijanjikan kepimpinan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)

"Ini tentunya dapat mengurangkan kesesakan di bahagian selatan lebuh raya itu.

Sebaliknya (apa yang berlaku semasa PRU14) pengundi lebih tertarik dengan janji PH untuk membatalkan tol daripada menikmati penambahbaikan secara berkala.

"Apa yang percuma itu lebih menarik dan ini termasuklah janji-janji yang ditabur dan bukannya untuk dikotakan," katanya dalam catatan terbaharu yang dimuat naik menerusi Facebook miliknya pada Isnin.

Kedua katanya, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang disifatkan sebagai pemangkin bukan hanya memudahkan perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura tetapi memantapkan lagi sektor pengangkutan dan teknologi rel eletrik negara.

Beliau berkata, Johor mendapat lebih manfaat daripada projek itu dengan laluan HSR peringkat domestik dengan mempunyai tiga stesen di Johor iaitu Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri sekali gus akan membawa limpahan pembangunan.

"Projek HSR akhirnya dibatalkan pelaksanaannya dengan pembayaran ganti rugi beratus juta kepada kerajaan Singapura.

Artikel Berkaitan:

Sungguhpun pembatalan HSR tidak menjadi sebahagian manifesto PH, namun keputusan 'adhoc' ini telah merencatkan pembangunan ekonomi negeri dan negara.

"Perkara ketiga apabila Malaysia dan Johor kehilangan kedaulatan terhadap Pulau Batu Putih pada Mei 2008.

Tetapi apabila PH menarik balik permohonan semakan pada Mei 2018, negara telah hilang Pulau Batu Putih untuk selama-lamanya," katanya.

Shahrir berkata, ini kerana sebelum PRU14 kerajaan Malaysia telah menemui bukti baharu mengenai pulau itu di arkib United Kingdom dan telah memohon semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ke atas Pulau Batu Putih.

Justeru katanya, kerajaan kepimpinan Ismail Sabri wajar mengambil tindakan sewajarnya mengapa PH sanggup mengorbankan Pulau Batu Puteh.

"Selain itu juga 'Middle Rock' yang masih menjadi milik Malaysia harus dimanfaatkan sepenuhnya kedudukan strategiknya di tengah-tengah laluan perkapalan utama rantau ini.

"Johor banyak kerugian apabila PH menjadi pemerintah," dakwanya.

Beliau menjelaskan, ketiga-tiga perkara tersebut dibangkitkannya pada pertemuan dengan Naib Presiden UMNO itu dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini pada Sabtu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!