'GajiNow Financing' bantu individu terjejas Covid-19

Produk 'GajiNow Financing' diperkenalkan bagi membantu individu bergaji di Malaysia yang telah terjejas akibat Covid-19. - Foto Bernama
Produk 'GajiNow Financing' diperkenalkan bagi membantu individu bergaji di Malaysia yang telah terjejas akibat Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

ORPHEUS Capital Sdn Bhd dengan kerjasama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) telah memperkenalkan produk yang dinamakan 'GajiNow Financing' bagi membantu individu bergaji di Malaysia yang telah terjejas akibat Covid-19.

Pengasas bersama Orpheus, Hamudi A. Khalid berkata, syarikat itu menjamin bahawa ‘GajiNow Financing’ boleh dimohon oleh semua individu yang bergaji minimum RM1,200.

“’GajiNow Financing’ adalah pembiayaan patuh syariah jangka pendek yang dibuat untuk meringankan beban mereka yang telah terkena impak Covid-19 dan tujuan produk tersebut adalah bagi mengelakkan individu berkenaan beralih kepada pemberi pinjaman wang dan Ah Long,” katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat itu bersimpati dengan perniagaan dan individu yang telah terjejas oleh wabak ini, terutama selepas mengetahui bahawa terdapat banyak pihak yang terpaksa mencari jalan keluar bagi mengekalkan pendapatan mereka pada bulan itu walaupun selepas menerima gaji mereka.

“GajiNow Financing merupakan salah satu daripada banyak usaha yang kami buat untuk menjadi pemangkin dalam mempromosikan penyertaan dan kejayaan PKS serta individu dalam iklim ekonomi kami sekarang.

“Kami memahami sepenuhnya bahawa proses pembiayaan tradisional adalah agak membosankan, memakan masa dan mahal. Dengan kepakaran serta sokongan teknologi Huawei, kami dapat menyediakan platform pembiayaan digital sepenuhnya yang mengurangkan proses termasuk kelulusan permohonan menjadi kurang dari lima minit, ini memudahkan urusan pembiayaan berbanding sebelumnya,” kata Hamidi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan berkata, Huawei teruja dapat memberikan sokongan teknologi yang diperlukan Orpheus dan pada masa yang sama, membantu mereka menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan rangkaian produk mereka termasuk pengenalan amalan terbaik di beberapa bidang utama seperti pengumpulan data automatik, pengurangan penipuan, kecerdasan buatan serta pembelajaran mesin.

“Kami di Huawei yakin bahawa teknologi yang membolehkan akses ke pembiayaan serta kewangan akan mengubah kehidupan. Perkongsian kukuh antara Orpheus dan Huawei ini memberi peluang menarik bagi kami untuk terus menyokong komuniti di Malaysia dan kami berharap dapat memanfaatkan kepakaran serta pengalaman masing-masing bagi mencapainya,” tambah Yuan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!