Dua makmal dadah dibongkar, dadah RM6.75j dirampas

pdrm
pdrm
A
A
A
KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan dadah bernilai RM6.75 juta ekoran empat serbuan di sekitar Lembah Klang pada Selasa lalu.

Operasi antara 5.45 petang dan 10.30 malam itu membongkar dua makmal memproses dadah serta membawa kepada penahanan 10 anggota sindiket berusia 26 hingga 39 tahun, termasuk tujuh warga asing.

Secara keseluruhan, polis merampas 92.44 kg dadah disyaki syabu, 22.05 kg cecair disyaki syabu, 1.85 kg kokain dan 32.6 kg serbuk prekursor ephedrine selain menyita lima kereta mewah, sebuah motosikal, wang tunai RM10,840, sepucuk pistol, seutas jam tangan dan seutas rantai leher.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah banglo di Jalan Ampang yang dijadikan makmal memproses dadah. Dua lelaki warga India 24 dan 29 tahun dan seorang lelaki warga Rusia, 31, yang berperanan sebagai ahli kimia, ditahan.

"Pemeriksaan yang dilakukan menemui sejumlah dadah disyaki syabu, kokain, sepucuk pistol dan pelbagai bahan kimia selain kertas formula cara memproses dadah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya kemudian telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun di Jalan Kemajuan, Petaling Jaya.

Katanya, bertindak atas maklumat, serbuan kedua dilakukan di sebuah lagi banglo di Jalan Kemajuan yang turut dijadikan makmal memproses dadah dan menahan empat lelaki warga India berusia 26 hingga 39 tahun serta menemui sejumlah dadah disyaki syabu dan pelbagai peralatan memproses dadah.

"Serbuan seterusnya dilakukan di lobi sebuah hotel di Petaling Jaya dan kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun. Pemeriksaan kenderaan di parkir hotel itu membawa kepada penemuan sejumlah dadah serta bahan kimia untuk memproses dadah," katanya.

Seorang wanita tempatan berusia 27 tahun, yang dikatakan teman wanita lelaki Rusia berkenaan, di tahan dalam serbuan terakhir di satu alamat di Jalan Ampang.
Artikel Berkaitan:


Kata Mohmad, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mengedarkan dadah di dalam negara dan negara jiran.

Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki Rusia itu memasuki negara ini menggunakan pas pekerja yang sah sehingga tahun hadapan namun sebelum ini pernah memasuki negara ini sebagai pelajar lima tahun lalu. Enam lelaki warga India berkenaan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Kesemua yang ditahan kini direman tujuh hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan kes yang dilakukan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!