Edu-Forest UPSI bakal jadi tarikan baharu di Tanjung Malim

Edu-Forest Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini bakal menjadi tarikan baharu sebagai lokasi menarik untuk aktiviti pendidikan, kajian dan rekreasi berasaskan keindahan alam semula jadi. - Foto UPSI
Edu-Forest Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini bakal menjadi tarikan baharu sebagai lokasi menarik untuk aktiviti pendidikan, kajian dan rekreasi berasaskan keindahan alam semula jadi. - Foto UPSI
A
A
A

TANJUNG MALIM - Edu-Forest Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini bakal menjadi tarikan baharu sebagai lokasi menarik untuk aktiviti pendidikan, kajian dan rekreasi berasaskan keindahan alam semula jadi.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPSI, Puan Sri Rohani Parkash Abdullah berkata, lokasi strategik Edu-Forest UPSI di sisi Banjaran Titiwangsa yang menyajikan pemandangan beberapa puncak gunung antaranya Gunung Liang, Gunung Sanggul, Gunung Kerjul, Gunung Tumang Batak serta Chondong Geliting menjadi potensi peminat dan pencinta alam.

"Saya bangga dengan idea dan usaha murni berkenaan malah berkeyakinan inisiatif itu akan menjadi pencetus dan jalan rintis dalam mempergiatkan lagi UPSI sebagai Universiti Nombor Satu Pendidikan di negara ini.

“Usaha UPSI selaras dengan hasrat kerajaan melestarikan hutan simpan untuk manfaat secara bersama khusus buat komuniti atas prinsip Keluarga Malaysia," menurutnya dalam kenyataan selepas merasmikan Edu-Forest UPSI pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Suriani Abu Bakar serta Penolong Pegawai Hutan Daerah, Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan (Tapah) Mis Maizura Amat Kaulan.

Rohani juga berkata, beliau yakin pemilihan kawasan itu amat strategik kerana lokasi Hutan Simpan Behrang terletak berhampiran Kampus Utama UPSI dan kaya dengan sumber serta khazanah alam yang belum terusik dan tercemar.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff pula berkata, stesen Edu-Forest UPSI itu, yang berkeluasan 10 hektar, memperoleh lesen penggunaan selama 30 tahun bermula 14 Mei 2019 daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

“Saya berharap ia menjadi tarikan baharu kepada warga UPSI, komuniti sekitar Muallim, penggiat rekreasi, penyelidik dan rakyat Malaysia serta antarabangsa untuk datang ke Tanjung Malim.

Artikel Berkaitan:

"Edu-Forest UPSI akan menjadi destinasi ekopelacongan yang berkonsepkan pendidikan unik seperti aktiviti pendidikan rekreasi luar dengan mengekalkan status Hutan Simpan Kekal sebagai langkah pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar sedia ada di Hutan Simpan Behrang.

"Di sekitar Edu-Forest UPSI, terdapat banyak air terjun seperti Lubuk Kawah, Lubuk Hantu, Air Terjun Strata, Lubuk Graha, Lata Berembun, Lata Rimau dan Lata Manik," katanya.

Beliau berkata, aktiviti yang boleh dilaksanakan ialah kayak arus deras, rakit arus deras serta ‘water tubing’ dan penggemar aktiviti lasak juga berpeluang menyertai cabaran darat seperti basikal lasak, cabaran 4x4 serta marathon yang kerap dianjurkan oleh UPSI dan Majlis Daerah Tanjung Malim.

Bagi Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin, yang menggerakkan usaha itu, penubuhan stesen tersebut menjadikan UPSI sebagai universiti pendidikan pertama yang memiliki Makmal Hidup untuk pelajar dari pelbagai pengkhususan seperti Biologi, Kimia Sebatian Semulajadi, Geografi, Sains Sukan, Sains Tanah, Muzik, Seni, Rekreasi, Psikologi serta bidang disiplin ilmu lain di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berkata, ini selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1998.

Malah katanya, Malaysia turut menandatangani Konvensyen Kepelbagaian Biologi bersama-sama 154 negara lain di Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!