RMK12: Perlu jawatankuasa khas pantau, urus projek luar bandar

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Khas antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu dibentuk bagi memantau dan mengurus rangka kerja projek pembangunan luar bandar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, pewujudan jawatankuasa itu penting agar segala peruntukan di bawah rancangan dalam tempoh lima tahun itu sampai kepada sasaran selain memudahkan urusan berkaitan yang memerlukan kelulusan di peringkat kerajaan negeri.

"’Task force’(pasukan petugas) kena ada, ‘timeline’ (garis masa) kena ada,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin membentangkan RMK12 yang bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang, ketika negara sedang mengharungi cabaran getir pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, penekanan berhubung aspek peruntukan pembangunan luar bandar di bawah rancangan itu tepat pada masanya dan bersesuaian dengan falsafah Keluarga Malaysia yang dibawa kerajaan.

Menyifatkan pembentangan rancangan berkenaan sebagai sangat komprehensif, Mahdzir turut menyambut baik segala inisiatif berkaitan luar bandar yang diberi keutamaan dalam RMK12 meliputi isu jurang digital luar bandar dan bandar, perumahan, internet serta infrastruktur dan kemudahan asas.

Sementara itu, meninjau laman media sosial Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan kementeriannya akan berusaha memastikan segala perancangan kementerian itu di bawah RMK12 dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

"Insya-ALLAH, MINDEF (Kementerian Pertahanan) akan usahakan demi memastikan segala perancangan di bawah #RMK12 dapat dilaksanakan sebaiknya," ciapnya dalam akaun Twitternya. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!