Imej SPRM perlu dipulihkan
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memulihkan imej yang tercalar ekoran siasatan berhubung tiga pegawai kanannya yang didakwa menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.
Ini kerana, hanya SPRM yang menjadi harapan rakyat untuk memastikan negara yang disayangi ini bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.
Semasa zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kita dapat melihat banyak usaha pembaharuan yang hendak dilakukan supaya masalah rasuah dalam negara dapat diselesaikan.
Ketika itu, hampir setiap hari kes-kes rasuah dilaporkan dalam media yang menunjukkan kerajaan dan kepimpinan SPRM mempunyai iltizam begitu tinggi.
SPRM dilihat begitu garang dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab tanpa sebarang rasa gentar terhadap mana-mana pihak.
Rakyat berasakan bahawa Malaysia akan mengalami perubahan dan masa depan yang lebih cerah dengan suasana baharu.
Namun, segalanya berubah selepas PH jatuh dan kerajaan bertukar tangan. Iltizam kerajaan yang mengambil alih pentadbiran nampak semakin berkurangan dan kes-kes yang dihadapkan ke mahkamah tidak semeriah dahulu.
Tiba-tiba kita dikejutkan pula dengan dakwaan salah seorang daripada tiga pegawai kanan SPRM mengambil duit terlibat dalam siasatan curi barang kes melibatkan seorang ketua jabatan bernilai AS$6 juta.
Menurut laporan Sinar Harian, individu terbabit memiliki sebuah rumah dan beberapa kenderaan mewah serta motosikal berkuasa tinggi bernilai RM1.6 juta.
Penyitaan itu melibatkan sebuah rumah, dua buah kereta jenis Mercedes dan Honda Type R serta dua motosikal jenis Ducati.
Malah, Khamis lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya menahan seorang pegawai kanan SPRM pada Selasa untuk siasatan memiliki dadah berbahaya, senjata api dan peluru.
Nampaknya sudah sampai masa kerajaan melakukan sesuatu bagi memastikan SPRM menjadi sebuah suruhanjaya yang berintegriti tinggi, maka cadangan untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen perlu diteliti dengan serius.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) menyebut tentang pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi untuk menjadikan Malaysia negara yang bebas rasuah.
Kita amat menyambut baik hasrat tersebut dan menyokong penuh agar kerajaan Keluarga Malaysia dapat menunaikan janji demi untuk negara dan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!