Dihalau dari rumah, terpaksa serah 50 ekor kucing ke pusat perlindungan
SEORANG pencinta kucing tidak memikirkan perihal dirinya sekalipun baru dihalau keluar rumah, sebaliknya yang lebih penting adalah si comel kesayangan ada tempat berteduh dan makanan untuk mengisi perut.
Menerusi kisah yang dikongsikan portal Awani, seorang petugas pusat perlindungan kucing, Bustana Kucing, Zakaria Shafie berkata, individu dari Ipoh itu terpaksa menyerahkan 50 ekor kucing miliknya ke pusat itu bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.
"Dia (pemilik kucing) tinggal sendiri, suami sudah meninggal dan anak-anak pun tak ada.
"Dia seorang pencinta kucing dan sering menyelamatkan kucing di sekitar Ipoh," kata Zakaria.
Menerima jumlah kucing yang banyak dalam satu masa bukan perkara luar biasa bagi petugas di situ, namun ia memberi cabaran tersendiri kerana bukan semua kucing mudah menyesuaikan diri dengan keadaan baharu.
Bustana Kucing terletak di Kangar, Perlis, menempatkan kira-kira 1,500 ekor kucing.
Dibuka pada 2015, ia diuruskan oleh 14 petugas termasuk seorang doktor.
"Dahulu pusat ini beroperasi dengan dana yang dikeluarkan oleh pengasas serta sukarelawan, tetapi sejak 2018, orang ramai sudah tahu tentang pusat ini dan membantu memberikan sumbangan," katanya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!