Kerajaan jamin tidak hadkan lesen warga emas

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong - Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Kerajaan tidak berhasrat untuk menarik balik atau mengehadkan syarat lesen memandu terhadap warga emas berusia 70 tahun dan ke atas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tidak wujud sebarang arahan atau syarat agar mereka yang berusia 70 tahun untuk mengembalikan lesen memandu mereka.

“Kementerian tidak pernah mengeluarkan arahan dengan mensyaratkan warga emas berusia lebih 70 tahun untuk mengembalikan lesen memandu kerana kompetensi berlainan.

“Ini bukan pendirian Kementerian Pengangkutan dan kita tidak berhajat pun (untuk mengehadkan umur pemegang lesen memandu) sebab kompetensi itu bukan berdasarkan faktor umur,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai tindakan kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan selain meletakkan had usia kepada warga emas dan pindaan undang-undang.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, kerajaan tidak boleh bersifat diskriminasi terhadap mereka yang berusia lebih 70 tahun kerana faktor usia bukan satu-satunya punca berlakunya kemalangan jalan raya.

“Seperti Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau boleh memandu jauh lebih baik daripada orang yang memandu kereta di jalan raya. Jadi, tidak boleh ada diskriminasi kepada warga emas lebih 70 tahun.

"Faktor usia bukan satu-satunya punca berlakunya kemalangan, sebaliknya ada banyak lagi faktor," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ka Siong, sebanyak 80 peratus daripada kemalangan adalah disebabkan faktor manusia, selain 13 peratus disebabkan kenderaan dan tujuh peratus berkaitan persekitaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!