Musang king, Bukit Fraser antara Lima Permata Raub
RAUB - Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PlanMalaysia) mengemukakan 'Lima Permata Raub' (Raub 5 Gems) sebagai cadangan untuk mengukuhkan kedudukan daerah berkenaan ke peringkat global.
Ketua Pengarahnya, Dr Shamsaini Shamsuddin berkata, cadangan tersebut antara hasil menerusi penyediaan Draf Rancangan Tempatan (RT) Daerah Raub 2035 (Penggantian).
Beliau berkata, lima permata tersebut membabitkan durian musang king, Bukit Fraser, Kompleks Geopark Benum, bandar Raub serta ekopelancongan dan agropelancongan di daerah tersebut.
"Durian musang king telah menjadi ikon produk pertanian di peringkat global dan Model Bisnes Raub Agropolitan serta Pusat Agrotech Raub (Ratec) dicadangkan sebagai pemangkin kepada nilai pengeluaran hasil pertanian di daerah ini dan Pahang.
"Bagi Bukit Fraser pula yang dikenali sebagai 'Eko Warisan Tanah Tinggi' berkonsepkan Little England dengan senibina 'Mock Tudor', ia melibatkan cadangan Taman Negeri Bukit Fraser, Taman Floria dan sebagainya," katanya dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RT Daerah Raub, Pahang 2035 (Penggantian) di Dewan Jubli Perak di sini pada Isnin.
Hadir sama ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abd Rahim Muda.
Shamsaini berkata, cadangan Kompleks Geopark Benum merupakan aset bernilai bagi kluster pelancongan warisan geologi menerusi penemuan batuan igneus berusia jutaan tahun.
"Selain itu, penemuan bunga rafflesia di Hutan Simpan Gunung Benum juga dapat menonjolkan keunikan ekosistem yang masih terpelihara di daerah Raub," jelas beliau.
Sementara itu, Shamsaini berkata, bandar Raub turut disenaraikan dalam lima permata terbabit.
"Bertemakan 'Raub Bandar Agro Warisan' dengan cadangan zon warisan termasuk Muzium Warisan dan Kesenian Raub, Pusat Bandar Raub (RUC), Raub 21, Laman Perniagaan Raub dan sebagainya.
"Seterusnya permata terakhir ialah menerusi ekopelancongan dan agropelancongan termasuk cadangan slogan promosi pelancongan iaitu 'Weh! Moh ke Raub' selain cadangan produk pelancongan dan pertanian dengan label 'Raub Premium'," katanya.
Tambah beliau, ia juga melibatkan cadangan menjadikan Pekan Dong sebagai 'Pekan Warisan Pasar Sehari', Sungai Ruan sebagai 'Pusat Agro Satelit Durian' dan Batu Malim sebagai 'Pekan Pesisir Sungai' melalui penyediaan hentian rehat dan rawat (R&R) Batu Malim.
"Secara keseluruhan, draf terbabit menyenaraikan sebanyak 130 projek cadangan keseluruhan projek dan inisiatif pembangunan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!