Pengusaha jeti Pulau Pangkor boleh dikenakan tindakan langgar SOP
IPOH - Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pengusaha jeti ke Pulau Pangkor sekiranya gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, bagi memantau perkara itu sebuah Jawatankuasa Pematuhan SOP khusus untuk jeti telah ditubuhkan.
Menurutnya, pematuhan SOP penting dalam usaha kerajaan negeri mendapat pengiktirafan gelembung pelancongan untuk pulau bebas cukai itu.
"Sebelum ini, kita mempunyai masalah yang sama bila kita mempunyai ramai pelancong yang datang dari kedua-dua jeti yang sedang beroperasi.
"Kita telah tubuhkan sebuah Jawatankuasa Pematuhan SOP khusus untuk jeti dan kita belum mendapat laporan penuh sekiranya ada berlaku di luar kawalan.
"Satu mesyuarat diadakan pada petang ini, kita akan pastikan pematuhan SOP perlu mengikuti MKN," katanya ketika mengulas dakwaan beberapa pihak berhubung kegagalan pihak jeti tidak menyemak sijil vaksinasi pelancong ke Pulau Pangkor.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan program penyerahan sumbangan enam peranti mudah alih kepada Perpustakaan Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Kepayang di sini pada Selasa.
Nolee Ashilin berkata, pihaknya turut menitikberatkan faktor keselamatan awam bagi mengelakkan peningkatan kes-kes positif Covid-19.
"Penguatkuasaan akan dijalankan secara bersepadu di bawah Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bersama agensi-agensi terlibat dalam jawatankuasa tersebut. Mereka mempunyai kunci kuasa untuk mengeluarkan denda dan sebagainya.
"Kita akan buat pemantauan dari masa ke masa dan perkara ini akan dibawa pada mesyuarat jawatankuasa yang dikawal selia di bawah sekretariat Pulau Bebas Cukai Pangkor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!