Fasa Tiga PPN di Johor paling sesuai buka sempadan
PASIR GUDANG - Kerajaan Persekutuan dicadangkan membuat rundingan dengan kerajaan Singapura untuk membuka sempadan Malaysia-Singapura sepenuhnya selepas Johor memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berpendapat, Fasa Ketiga PPN adalah masa paling sesuai kerana segala persediaan dan perbincangan boleh dilakukan pada masa ini.
Menurutnya, Johor yang masuk Fasa Dua PPN pada Jumaat lalu sudah lama bersedia untuk pembukaan sempadan dan sekiranya semua garis panduan ditetapkan PPN sudah dipenuhi, ini akan menjadi asas kukuh untuk membuka sempadan sepenuhnya.
"Ini ditambah dengan penyertaan kerajaan negeri yang terlibat secara langsung dalam jawatankuasa teknikal yang membincangkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura, segala data yang diperoleh kerajaan Johor akan dapat membantu.
"Justeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh membuat penilaian risiko pembukaan sempadan sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Amal di Permas Jaya di sini pada Selasa.
Sempadan Malaysia-Singapura yang merupakan sempadan antaranya paling sibuk di dunia masih tidak dibuka sepenuhnya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
Pada Sabtu, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, Johor terlibat secara langsung dalam jawatankuasa teknikal itu, bukan hanya isu pembukaan sempadan, tetapi juga prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan berhubung pergerakan rentas sempadan.
"Antara isu yang memerlukan bantuan kerajaan negeri termasuk mendapatkan senarai rakyat Malaysia bekerja di Singapura yang telah divaksin di sana tetapi belum dikemas kini dengan MySejahtera selain pergerakan keluar masuk lori membawa bekalan ke Singapura," katanya.
Mengulas mengenai program itu, beliau berkata, program berkenaan dianjurkan Skuad Prihatin Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Perantau JB yang menawarkan ayam, telur, gula dan sayur kepada orang ramai dengan harga RM10 sahaja.
Jelasnya, program berkenaan adalah lanjutan pemberian bakul makan untuk penduduk B40 di daerah ini.
"Hari ini kita tawarkan 500 set barang makanan itu untuk penduduk B40 di Permas Jaya dan Plentong dengan harga RM10 yang dibuat setiap minggu.
"Kita menerima peruntukan RM300,000 daripada Menteri Besar Johor untuk kawasan Permas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!