Fasa 2 PPN: Chalet di Gunung Pulai habis ditempah

Jamalludin menunjukkan chalet yang ditawarkan di Gunung Pulai.
Jamalludin menunjukkan chalet yang ditawarkan di Gunung Pulai.
A
A
A

KULAI - Pengusaha chalet di Kampung Sri Gunung Pulai di sini lega apabila chalet yang disediakan habis ditempah pelanggan selepas Johor beralih kepada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak Jumaat lalu.

Jamalludin Abdol Hamid, 55, berkata, Chalet D'Cabin yang terletak berhampiran kawasan air terjun Gunung Pulai sudah ditempah lebih awal oleh pelanggan yang mahu bercuti pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sepanjang Oktober.

Beliau yang merupakan Pengerusi Koperasi Sri Sekawan Kulai Berhad berkata, chalet Kampung Sri Gunung Pulai itu menjadi buruan pengunjung dari Johor Bahru, Pasir Gudang dan Iskandar Puteri yang mahu beriadah bersama keluarga di kawasan air terjun.

"Kedudukan Kampung Sri Gunung Pulai yang hanya 30 minit dari Johor Bahru menjadikan ia lokasi paling dekat untuk warga kota bercuti dan beriadah.

"Selepas pengumuman Johor akan beralih ke Fasa Dua PPN pada minggu lepas, saya tidak menang tangan melayan panggilan telefon orang ramai yang mahu menempah chalet. Mereka beritahu hendak datang bercuti dengan keluarga," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Jamalluddin berkata, pihak chalet juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara( MKN) termasuk pelanggan perlu lengkap dua dos vaksin dan datang dari negeri ini sahaja.

Air terjun Gunung Pulai.
Air terjun Gunung Pulai.

"Terdapat empat kawasan Chalet D' Cabin Gunung Pulai iaitu Jati, Merbau, Kulai dan Cengal dengan 16 chalet kesemuanya. Sudah tentu Koperasi Sri Sekawan Kulai Berhad sudah bersedia dengan peningkatan pengunjung.

Artikel Berkaitan:

"Peralihan fasa ini juga akan merancakkan semula sektor ekonomi khususnya orang kampung selepas hampir enam bulan chalet di sini tidak beroperasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) bagi membendung penularan Covid-19," katanya.

Pengurus Koperasi Sri Sekawan Kulai Berhad, Mohd Razi Razak berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai pengunjung akan hadir ke Taman Eko Rimba Gunung Pulai pada hujung minggu.

MOHD RAZI
MOHD RAZI

Katanya, peningkatan jumlah pengunjung itu membolehkan pihak koperasi membuka semula restoran yang ditutup sejak setahun lalu berikutan penutupan Taman Eko Rimba Gunung Pulai.

"Restoran antara perniagaan yang terjejas teruk. Namun pihak koperasi mengambil inisiatif untuk membuka semula restoran ini selepas melihat terdapat peningkatan pengunjung ke Taman Eko Rimba Gunung Pulai pada cuti hujung minggu lalu.

"Namun, kami tetap memastikan SOP dipatuhi selain kebersihan menjadi aspek penting di restoran," katanya.

Menurut Mohd Razi, jika sebelum ini penduduk kampung terlibat dengan aktiviti homestay yang dirancang Koperasi Sri Sekawan Kulai Berhad, tetapi sejak setahun lalu tiada lagi tempahan homestay terutama dari pelancong Singapura dan Jepun yang diterima penduduk.

"Pandemik Covid-19 banyak memberi kesan kepada penduduk kampung di sini yang kebanyakannya terlibat dalam aktiviti pelancongan.

"Peralihan fasa dua di Johor seakan memberi kami harapan untuk menghidupkan semula sektor pelancongan di sini. Kami berharap pengunjung sentiasa mematuhi SOP ditetapkan dan memberi kerjasama sepanjang mereka bercuti di sini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!