Sasaran RM10,065 pendapatan sebulan dijangka dicapai 2025

Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak berbahas pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.- Foto Bernama
Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak berbahas pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan sasaran purata pendapatan RM10,065 sebulan rakyat boleh dicapai menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada 2025.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sasaran seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu boleh dicapai sekiranya kerajaan hari ini bertindak dengan lebih cekap, berani dan inovatif.

Menurutnya, purata pendapatan isi rumah seperti yang dinilai oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) adalah RM3,686 sebulan pada tahun 2007.

"Namun ia berjaya dinaikkan hampir sekali ganda ke RM6,958 sebulan pada tahun 2016 susulan pertumbuhan ekonomi yang mantap dalam tempoh tersebut.

"Akan tetapi, kadar pertumbuhan pendapatan rakyat telah jauh menyusut dan hanya naik ke RM7,089 sebulan pada tahun 2019 iaitu kenaikan 1.8 peratus dalam tempoh tiga tahun dari 2017 walaupun pertumbuhan ekonomi ketika itu begitu mantap," katanya ketika membahaskan RMK12 di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat yang menetapkan hala tuju strategik bertemakan 'Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan'.

Mengulas lanjut, Najib berkata, asas bagi RMK12 adalah berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dengan matlamat utama untuk mengurangkan jurang pendapatan antara semua rakyat dengan meningkatkan pendapatan golongan B40 dan M40.

Menurutnya, sebenarnya matlamat itu juga adalah antara keutamaan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Jurang antara pendapatan golongan miskin dan kaya di negara ini melebar pada 2019 buat kali pertama sejak tahun 2004, demikian mengikut laporan terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Pekali Gini (Gini Coefficient) adalah kaedah paling popular untuk mengukur ketaksamarataan pendapatan, yang mana nilai Pekali Gini berada di antara 0 dan 1. Semakin kecil nilainya semakin saksama agihan pendapatan," katanya.

Najib menambah, Pekali Gini negara telah menurun secara konsisten dari 0.441 pada tahun 2009 ke 0.399 pada akhir tahun 2016.

"Bagaimanapun, angka ini telah menaik semula pada tahun 2019 di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), iaitu kenaikan sejak tahun 2004.

"Di bawah kerajaan BN, tempoh sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ialah tempoh Pekali Gini menjunam paling tajam atau paling ketara apabila dasar-dasar seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan-bantuan lain seperti bayaran bulanan kepada nelayan, bantuan persekolahan dan bantuan antara musim bagi pekebun kecil dan pesawah padi, diperkenalkan," katanya.

Di samping itu, menurutnya, kadar pelaburan asing yang paling tinggi dalam sejarah Malaysia berjaya mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Jelasnya, pelaksanaan Sistem Percukaian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memberi kesan lebih besar kepada golongan kaya dan ekonomi gelap yang berbelanja lebih banyak.

"Mereka tidak lagi mudah untuk mengelak cukai seperti sistem percukaian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

"Malangnya, akibat dasar-dasar kerajaan selepas PRU14 untuk mengurang dan memansuhkan pelbagai bantuan bagi golongan berpendapatan rendah, dividen serta hibah tabung-tabung simpanan rakyat untuk tiga tahun berturut-turut mencatatkan rekod paling rendah dalam sejarah.

"Selain itu, menggantikan sistem cukai GST dengan SST menyebabkan pertumbuhan pendapatan golongan paling kaya (T20) menjadi lebih tinggi berbanding golongan M40 dan B40 buat kali pertama sejak 10 tahun lalu," katanya.

Najib menegaskan, akibatnya kesan daripada itu, Pekali Gini naik semula dan mencerminkan jurang pendapatan semakin melebar.

Katanya, memandangkan Pekali Gini itu pernah turun dari 0.441 ke 0.399 dalam masa sembilan tahun sebelum naik semula selepas PRU14, adalah tidak mustahil bagi sasaran Pekali Gini pada 0.387 di bawah RMK12 ditepati.

"Namun kita perlu meneruskan strategi dan langkah-langkah utama yang telah terbukti berjaya iaitu menaikkan pendapatan dan bantuan Rakyat B40 dan M40, memastikan pertumbuhan ekonomi negara setiap tahun adalah mantap serta sistem percukaian dan subsidi yang lebih adil dan telus," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!