Wanita maut digilis treler

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
A
A
A

BATU GAJAH - Seorang wanita maut akibat digilis treler selepas motosikal ditunggang bertembung dengan kenderaan itu persimpangan Jalan Bemban berhampiran kawasan Perindustrian Bemban, Pusing semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Khairun Nisa Kamaruzzaman, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika treler tanpa muatan dipandu lelaki berusia 50 tahun dalam perjalanan dari arah Pengkalan sedang berhenti di lampu isyarat untuk membelok ke kanan.

Penunggang dan motosikalnya terpesorok bawah treler.
Penunggang dan motosikalnya terpesorok bawah treler.

"Semasa hendak memasuki simpang, sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z dari arah Perindustrian Bemban secara tiba-tiba keluar dari simpang sebelum masuk ke laluan treler terbabit.

"Pemandu treler menghentikan kenderaan kerana mengesyaki terlanggar sesuatu sebelum melihat seorang penunggang bersama motosikal di bawah treler berkenaan," katanya.

Menurutnya, mangsa yang beralamat dari Kampung Rapat Jaya Tambahan dan bekerja sebagai peniaga pasar malam disahkan maut di lokasi kejadian, sementara pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan lanjut kes dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!