RMK12: Beri tumpuan kepada kemiskinan bandar di Sibu

Kerajaan digesa memberi tumpuan kepada isu kemiskinan bandar di Sibu di bawah Rancangan Malaysia ke-12. - Foto 123RF
Kerajaan digesa memberi tumpuan kepada isu kemiskinan bandar di Sibu di bawah Rancangan Malaysia ke-12. - Foto 123RF
A
A
A

SIBU - Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Sibu menggesa kerajaan agar memberi tumpuan dan perhatian kepada isu kemiskinan bandar di sini di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Pengerusinya, Chambai Lindong berkata, fokus tidak banyak diberikan terhadap isu itu yang membelenggu rakyat terutama semasa pandemik Covid-19 ini.

“Kemiskinan bandar telah lama terjadi di Sibu kerana penghijrahan dari desa ke bandar. Mereka terdiri daripada penduduk kampung dan rumah panjang yang ingin mencari rezeki yang lebih baik,” katanya kepada Bernama ketika mengulas mengenai RMK12 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

Beliau berkata, golongan miskin bandar kebanyakannya bekerja dalam sektor kolar biru dan menetap di kawasan penduduk berkepadatan tinggi seperti di Bukit Assek, Jalan Tiong Hua dan Jalan Tong Sang, dengan empat keluarga menyewa sebuah rumah atau unit rumah kedai.

“Mereka tinggal dalam persekitaran sempit yang menyebabkan berlaku banyak masalah ketika pandemik dengan bilangan kes positif Covid-19 yang tinggi dikesan baru-baru ini,” katanya.

Chambai berkata, ramai yang salah tanggapan bahawa mereka yang miskin bandar hanya tinggal sementara di Sibu, hakikatnya ramai daripada mereka berada di Sibu selama 40 tahun seperti mereka yang bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta serta menyumbang kepada pembangunan di Sibu.

“Mereka adalah elemen penting bandar Sibu, justeru apa jua pembangunan perlu mengambil kira mereka. Ini sangat penting,” katanya.

Golongan miskin bandar perlu diberi latihan untuk membantu mereka menjadi pekerja berkemahiran dan kebolehpasarannya tinggi dalam pasaran pekerjaan, mendapat pendapatan yang lebih baik untuk menyara keluarga mereka.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata skim perumahan mampu milik juga wajar ditawarkan kepada mereka agar dapat hidup dalam persekitaran yang selamat daripada wabak Covid-19.

“Jika mereka dapat menyewa sebuah rumah saya yakin mereka akan mampu membeli skim perumahan yang mampu milik. Dapat memiliki rumah dengan harga berpatutan dapat meningkatkan taraf kehidupan dan anak-anak juga dapat memberi tumpuan dan cemerlang dalam pelajaran.

“Ia bukan sahaja baik untuk mereka, tetapi juga untuk Sibu dan Sarawak secara keseluruhan,” katanya dan menambah projek skim perumahan mampu milik perlu dibina tidak jauh dari pusat bandar bagi memudahkan masyarakat miskin bandar berulang-alik ke tempat kerja.

Ketika membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri berkata, satu unit khusus di peringkat Persekutuan dan pejabat daerah akan ditubuhkan bagi menangani isu kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan.

Unit khusus itu juga merupakan inisiatif membasmi kemiskinan tegar termasuk miskin bandar dibantu melalui pendekatan menyeluruh, kata Ismail Sabri. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!