Lawat muzium guna e-janji temu
KUALA LUMPUR - Keputusan membuka semula secara serentak tujuh muzium di tiga negeri termasuk yang berada di bawah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 2 Oktober ini, dibuat dengan mengambil kira tatacara operasi ketat yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tujuh muzium berkenaan ialah Muzium Negara, Muzium Etnologi Dunia Melayu, Muzium Seni Kraf Orang Asli, Muzium Muzik, Muzium Tekstil Negara di Kuala Lumpur; Muzium Automobil Nasional di Selangor dan Muzium Seni Bina Malaysia di Melaka.
Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan pelawat tidak digalakkan datang secara jumpa terus, namun hanya dibenarkan masuk dengan mendaftar lebih awal secara dalam talian melalui e-janji temu pada pautan http://www.jmm.gov.my/ms/content/janjitemu).
"Pelawat berusia 17 tahun dan ke bawah turut dibenarkan mengunjungi muzium dengan ditemani ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin,” menurut kenyataan itu.
Antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi pengunjung untuk melawat muzium berkenaan adalah mesti lengkap divaksin dan telah cukup tempoh matang 14 hari serta berstatus risiko rendah termasuk kontak kasual risiko rendah menerusi aplikasi MySejahtera.
JMM memaklumkan waktu operasi muzium-muzium JMM yang berada di bawah Fasa 1 dan 2 PPN bermula pada 9 pagi hingga 4 petang setiap hari kecuali Isnin (minggu pertama setiap bulan).
Tiga lagi muzium sudah dibuka kepada orang ramai iaitu Muzium Labuan, Muzium Marin Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan dan Muzium Kota Kayang, Perlis, menurut kenyataan itu.
Muzium JMM lain pula akan dibuka secara berperingkat selepas selesai tempoh kerja-kerja penyelenggaraan pada tahun ini, kecuali Galeria Perdana, Langkawi, Kedah yang ditutup sejak awal tahun ini untuk kerja naik taraf mekanikal dan elektrikal serta reka bentuk hiasan dalaman pamerannya hingga Mac 2023.
Pada 9 September lepas, kerajaan memberikan kelonggaran kepada industri kreatif beroperasi pada Fasa 1 PPN dan susulan itu, JMM telah mula merancang pembukaan semula muzium-muziumnya terutama yang terletak di negeri berkenaan. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!