Bank Dunia semak turun unjuran ekonomi Malaysia

Bank Dunia menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada 3.3 peratus berbanding 4.5 peratus yang dibuat pada Jun lepas.
Bank Dunia menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada 3.3 peratus berbanding 4.5 peratus yang dibuat pada Jun lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Dunia menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada 3.3 peratus berbanding 4.5 peratus yang dibuat pada Jun lepas.

Menurutnya, tindakan seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sikap berhati-hati yang ketara serta penyusutan persekitaran pasaran, dijangka memberi tekanan ke atas perbelanjaan swasta dan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh, terutama bagi sektor berkaitan perkhidmatan yang telah terjejas teruk akibat kawalan pergerakan.

“Bagaimanapun, sektor luaran akan terus memberi sokongan terhhadap ekonomi, terutama eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) dan sarung tangan perubatan. Momentum dijangka menyederhana berikutan peningkatan semula kes Covid-19 di negara maju dan China,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Bank Dunia, bilangan rakyat Malaysia di bawah paras kemiskinan pada kadar AS$10 seorang sehari (2011) juga diunjur berkurangan secara beransur-ansur manakala kadar kemiskinan dijangka kembali ke paras sebelum pandemik menjelang 2022.

Kadar serta trajektori pemulihan pada masa akan datang ini pula bergantung kepada beberapa faktor seperti program vaksinasi kebangsaan negara dan keberkesanan langkah-langkah pembendungan Covid-19.

“Perkembangan positif program pemberian vaksin itu sepatutnya dapat mengurangkan bebanan ke atas sistem penjagaan kesihatan dan membolehkan pelonggaran langkah pembendungan yang dilengkapkan dengan ujian dan mekanisme penjejakan dalam usaha meminimumkan risiko kemunculan semula Covid-19 pada masa depan,” katanya.

Bank Dunia telah membuat unjuran pertumbuhan ekonomi lebih tinggi bagi Malaysia pada 5.8 peratus bagi 2022 dan 4.5 peratus bagi 2023.

Sementara itu, bercakap di sidang media secara maya bersempena pelancaran Kemaskini Laporan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Oktober 2021 pada Selasa, Ketua Ahli Ekonomi World Bank Group Apurva Sanghi pula menyifatkan harapan masih wujud bentuk usaha pendigitalan yang dilaksanakan secara ketara di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Malah, katanya, persekitaran luaran turut memberi sokongan terhadap sektor eksport Malaysia.

Namun, beliau berkata, sokongan fiskal masih diperlukan bagi mencapai pemulihan daripada jurang output negatif semasa serta bagi menyokong golongan mudah terjejas atau rentan.

“Sehubungan itu, adalah penting untuk meneliti langkah-langkah seperti menambah baik kerangka kutipan cukai, menyemak semula sistem perbelanjaan cukai dan meninjau kaedah percukaian lainnya termasuk mempertingkat pengurusan dengan menggerakkan semua hasil dan sumbernya,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyarankan supaya Malaysia turut menumpukan aspek hasil dan perbelanjaan dan bertindak mempertingkat sumber dengan sewajarnya.

Dalam pada itu, mengulas Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan pada Isnin, Pengurus Negara Bank Dunia Bagi Malaysia, Yasuhiko Matsuda berkata, pelan itu memperincikan wawasan jangka panjang yang disifatkan sebagai wajar dan penting, terutama aspek kualiti pelan itu yang sememangnya menjadi antara sebab Malaysia dikenali.

“Namun, pada masa sama, keadaan sekeliling memerlukan kita untuk menyesuaikan diri dengan lebih pantas atau mudah serta tangkas,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas situasi di rantau Asia Timur dan Pasifik, laporan Bank Dunia itu berkata, pemulihan di rantau tersebut telah dijejaskan oleh penularan varian Delta Covid-19 dan memanjangkan lagi tekanan di pihak syarikat serta isi rumah selain berkemungkinan memperlahankan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan ketidaksamaan.

“Aktiviti ekonomi mulai perlahan pada suku kedua 2021 dan unjuran pertumbuhan di sebahagian besar negara itu juga telah disemak turun.

“Impak akibat penularan semula Covid-19 itu dijangka memberi kesan terhadap pertumbuhan dan meningkatkan ketidaksamaan bagi jangka panjang,” kata laporan itu.

Selain itu, Ketua Ahli Ekonomi bagi Asia Timur dan Pasifik, Aaditya Mattoo berkata, langkah mempercepatkan usaha pemberian vaksin dan ujian bagi membendung Covid-19, berupaya menghidupkan semula aktiviti ekonomi di negara-negara yang sudah terjejas seawal separuh pertama 2022 dan kadar pertumbuhan itu dapat dipertingkatkan pada tahun depan.

“Bagi jangka panjang, bagaimanapun, hanya usaha pembaharuan yang lebih terperinci dan mendalam dapat mengelak berlakunya pertumbuhan lebih perlahan dan menyebabkan ketidaksamaan meningkat gabungan negatif yang tidak pernah dilihat oleh rantau ini pada abad ini,” katanya.

Sementara itu, laporan Bank Dunia berkenaan juga menganggarkan bahawa sebahagian besar negara-negara di rantau ini, termasuk Indonesia dan Filipina dapat memberi suntikan vaksin tersebut kepada lebih 60 peratus penduduk masing-masing menjelang separuh pertama 2022, sekali gus dapat mengurangkan kematian dan membolehkan aktiviti-aktiviti ekonomi disambung semula.

Bank Dunia turut mengingatkan rantau Asia Timur dan Pasifik untuk menangani secara serius aspek keengganan penduduknya mengambil vaksin serta kekangan dalam kapasiti pengagihannya bagi mengelak liputan tidak sekata.

Langkah lain termasuk meningkatkan pengeluaran vaksin di peringkat tempatan bagi mengelak kebergantungan terhadap bekalan import serta memperkukuh sistem kesihatan untuk menangani Covid-19 bagi tempoh lama.

“Bantuan antarabangsa diperlukan bagi menyokong usaha negara terbabit dalam semua bidang berkenaan, terutamanya bagi negara yang mempunyai kapasiti terhad,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!