RMK12 janjikan kegemilangan Felda

Idris Jusoh - Foto Bernama
Idris Jusoh - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Penumpuan kepada pelan pemulihan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) dilihat berupaya membantu agensi itu kembali semula ke landasan kegemilangannya sebagai pemacu pembangunan penempatan negara.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ia secara tidak langsung turut memberikan manfaat dan sinar baharu dalam memperkasakan kehidupan peneroka.

Menurutnya, ini kerana inisiatif proaktif yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan merupakan satu bukti sokongan yang padu dan berterusan bagi memastikan Felda kembali ke era kegemilangannya.

"Pelaksanaan dan usaha kerajaan melalui penstrukturan semula kewangan Felda melalui pemberian Sukuk bernilai RM9.9 bilion dan Penyelarasan Hutang Pinjaman Peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang memanfaatkan 112, 638 orang peneroka merupakan inisiatif yang paling berimpak tinggi.

"Ia selaras dengan hasrat untuk memperkasa agensi itu dan taraf sosio-ekonomi warga Felda.

"Saya mewakili seluruh pengurusan dan warga peneroka menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan yang telah memberi penumpuan kepada pelan pemulihan Felda melalui RMK12," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Idris berkata, ia ditambah lagi dengan sokongan kerajaan untuk menjadikan Felda sebagai peneraju dalam jaminan makanan negara (national food security) dan pertanian pintar.

Katanya, perancangan itu merupakan satu suntikan semangat untuk terus menerajui kepelbagaian pertanian dan penternakan (diversification of crops) yang bernilai tinggi untuk warga Felda terus mampan dan menikmati taraf hidup yang jauh lebih baik.

Artikel Berkaitan:

"Penggunaan tanah secara optimum melalui kepelbagaian aktiviti pertanian pintar dan berkelompok semestinya memberikan peluang kepada generasi baharu khususnya dalam meningkatkan ekonomi bidangan melalui penggunaan teknologi termaju untuk meningkatkan kualiti hasil tanaman," katanya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Kebangsaan, Sulong Jamil menyifatkan penambahbaikan kemudahan infrastruktur perhubungan jalan raya di kawasan rancangan dengan peruntukan RM135.3 juta turut membantu mengurangkan beban kos sara hidup dan menambah baik struktur sosioekonomi penduduk di tanah rancangan itu.

"Justeru, dengan harapan dan tanggungjawab yang diberikan, Felda dan seluruh warganya komited untuk menjadi warga yang mampan dan berdaya saing selaras dengan perubahan globalisasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!