MOSTI sasar 130 penyelidik bagi setiap 10,000 tenaga buruh
KUALA LUMPUR - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan 130 penyelidik bagi setiap 10,000 tenaga buruh menjelang 2025 menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dapatan sebelum ini merekodkan terdapat 50 penyelidik bagi setiap 10,000 tenaga buruh dengan hampir 70 peratus penyelidik berada di universiti.
"(Sebanyak) 130 penyelidik merupakan sasaran yang diminta dan berbagai jenis penyelidik seperti sektor industri, pertanian, aeroangkasa, sains dan teknologi dan reka bentuk. Kita lihat data, kebanyakan penyelidik berada di universiti sekarang iaitu hampir 70 peratus. Di peringkat industri sangat kurang.
"Kita mahu lebih banyak penyelidik di peringkat industri. Kebanyakan penyelidik di universiti, (kajian berada) di tahap asas. Kita boleh minta supaya mereka sampai ke peringkat pembangunan eksperimen," katanya ketika melawat ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini pada Selasa.
Beliau berkata, MOSTI akan menggabungkan ahli akademik, industri dan pelabur bagi membantu penyelidik di universiti melebarkan sayap ke tahap komersial.
Selain itu, Dr Adham berkata, MOSTI juga menyasarkan 70 peratus Perbelanjaan Perniagaan bagi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) daripada Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan.
MOSTI dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan strategi di bawah pemangkin dasar membangunkan tenaga kerja masa hadapan dan mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi yang digariskan dalam RMK12 amat bertepatan dengan usaha pemulihan negara khususnya menjana semula ekonomi pasca pandemik Covid-19.
Strategi yang telah dirancang akan merancakkan usaha pembangunan, penyelidikan dan pengkomersialan serta membangunkan tenaga kerja tempatan yang inovatif bagi menyokong pembangunan teknologi tempatan selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.
Semasa lawatan itu, Dr Adham diberi taklimat mengenai operasi Bernama serta berkongsi beberapa inisiatif MOSTI.
Ketibaan beliau disambut Pengerusi Bernama, Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Pengarang, Abdul Rahman Ahmad. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!