Gol roket Tae-su tarik perhatian FIFA

FIFA menzahirkan rasa kagum di laman sosial medianya.
FIFA menzahirkan rasa kagum di laman sosial medianya.
A
A
A

JARINGAN jarak jauh yang memukau pemain pertahanan import Sabah FC Park Tae-su ketika menentang Petaling Jaya (PJ) City FC pada aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia mendapat perhatian meluas termasuk di peringkat antarabangsa.

Rata-rata peminat bola sepak tanah air memuji jaringan 'roket' dari jarak kira-kira 35 meter itu yang disifatkan jarang berlaku dalam kancah saingan tempatan.

Bagi pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri, jaringan menarik secara tidak langsung menaikkan semangat rakan sepasukan untuk melakukan aksi sama sekali gus memberikan nilai tambah kepada prestasi pasukan.

"Semua jaringan ada kualiti dan keunikan tersendiri. Setiap jaringan yang dianggap cantik, pasti akan memberikan impak positif terhadap prestasi sesebuah pasukan kerana ia sebagai motivasi kepada semua pemain untuk menghasilkan lebih banyak jaringan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Mohd Faiz mencipta sensasi dalam sejarah bola sepak negara selepas menjadi pemain Asia pertama meraih Anugerah Puskas selepas meledak jaringan luar biasa ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam aksi Liga Super pada Februari 2016.

Kejayaan itu meletakkan Mohd Faiz sebaris bintang dunia apabila anugerah yang mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun itu pernah dimenangi beberapa pemain antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.

Pada masa sama, gol Tae-su hasil sepakan percuma pada minit ke-20 itu berjaya menarik perhatian FIFA yang menzahirkan rasa kagum dalam ciapan Twitter rasmi badan induk bola sepak dunia itu.

“Tepukan buat Park Tae Su! Jaringan roket daripada 40 ela yang terkena palang sebelum memasuki jaring. Gol yang pasti menjadi sejarah buat @SabahFCofficial,” menurut ciapan FIFA.

Artikel Berkaitan:

Ciapan tersebut mendapat hampir 4,000 twit semula dan lebih 6,000 'like' hingga berita ini ditulis.

Video klip jaringan itu turut dikongsikan laman web terkenal yang memfokuskan kepada sukan bola sepak dan budaya sukan, Bleacher Report dalam Twitter rasmi mereka dengan meraih lebih 5,700 twit semula dan lebih 13,500 'like' setakat ini.

Pada aksi Kumpulan D di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam, jaringan Tae-su, 31, meletakkan Sabah FC di hadapan, namun PJ City FC bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang Darren Lok pada minit ke-80 sekali gus mengikat keputusan 1-1.

Sabah FC yang menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kesembilan musim ini, kini mengumpul satu mata dan berada di kedudukan ketiga Kumpulan D selepas satu perlawanan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!