Saiful Azly antara 33 pegawai kanan terlibat pertukaran pegawai: PDRM
KUALA LUMPUR - Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin merupakan antara 33 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan serta kenaikan pangkat berkuat kuasa 1 November depan.
Superintendan Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara, Superintendan A Skandaguru berkata, Saiful Azly bertukar jawatan sebagai Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan Dan Pembangunan) Bukit Aman.
Beliau berkata, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan menggantikan tempat Saiful Azly sebagai Timbalan Pengarah JPJKK Bukit Aman.
"Jawatan Mazli pula akan digantikan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah Datuk Jauteh Dikun dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
"Selain itu, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Azizi Mat Aris dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat Deputi Komisioner,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.
Skandaguru berkata, Juruiring Polis kepada Yang di-Pertuan Agong Datuk Yahaya Othman pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
"Ketua Penolong Pengarah (D1) Kepolisan Kawalan Dalaman, JSJ Bukit Aman Datuk Zainol Samah dilantik sebagai Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner,” katanya.
Beliau juga berkata, Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman SAC Hamzah Ahmad dilantik sebagai Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Kementerian Dalam Negeri dengan memangku pangkat Deputi Komisioner. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!