Letupan pelabuhan Beirut masih misteri

Siasatan ke atas insiden letupan dahsyat di pelabuhan Beirut ditangguhkan lagi buat kali kedua, sekali gus mendedahkan ‘misteri’ yang terselindung dan gagal dirungkai hingga kini.
Siasatan ke atas insiden letupan dahsyat di pelabuhan Beirut ditangguhkan lagi buat kali kedua, sekali gus mendedahkan ‘misteri’ yang terselindung dan gagal dirungkai hingga kini.
A
A
A

SIASATAN ke atas insiden letupan dahsyat di pelabuhan Beirut ditangguhkan lagi buat kali kedua, sekali gus mendedahkan ‘misteri’ yang terselindung dan gagal dirungkai hingga kini.

Keputusan yang dibuat pada Isnin itu sekali lagi mengundang kemarahan waris keluarga mangsa dan dilihat sebagai ‘halangan politik’ secara terang-terangan ke atas tragedi yang menggemparkan pada 4 Ogos 2020.

Tarek Bitar memaklumkan siasatan terpaksa dihentikan sehingga mahkamah memutuskan sama ada beliau akan digantikan dengan hakim lain susulan aduan dikemukakan bekas Menteri Dalam Negeri, Nohad Machnouk minggu lalu.

Nohad dipercayai cuba mengganggu siasatan kerana beliau adalah salah seorang pegawai kanan yang berdepan tuduhan kecuaian hingga mengakibatkan kejadian letupan yang meragut lebih 200 nyawa, manakala kira-kira 7,000 cedera dan kemusnahan harta benda yang besar.

Jika Tarek digugurkan, beliau akan menjadi penyiasat kedua disingkirkan, sekali gus mendedahkan campur tangan ‘baron politik’ di Beirut yang sememangnya cuba menghalang siasatan tersebut.

Sebelum ini, pendahulunya, Fadi Sawan juga berdepan nasib sama selepas bekas menteri yang dipanggil untuk membantu siasatan mengemukakan permohonan serupa bagi menggantikan penyiasat kes tersebut yang semakin diselubungi misteri. Penangguhan siasatan itu membangkitkan rasa tidak puas hati kumpulan hak asasi dan waris keluarga mangsa yang mendakwa golongan elit politik sengaja menggunakan kedudukan mereka untuk menutup kebenaran.

“Halangan keadilan seharusnya menjadi wake up call kepada komuniti antarabangsa untuk melancarkan misi mencari fakta antarabangsa,” ujar jurucakap Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Antarabangsa (HRW), Aya Majzoub.

Ibrahim Hoteiet yang kehilangan ahli keluarga dalam kejadian itu juga menyelar kelas politik di Beirut kerana sengaja melambatkan siasatan untuk mengelakkan akauntabiliti.

Artikel Berkaitan:

“Jika Tarek disingkirkan, kami tidak teragak-agak untuk melancarkan protes ganas,” tegasnya.

KECUAIAN

Sementara itu, Perdana Menteri, Najib Mikati berharap Mahkamah Rayuan akan menolak penangguhan siasatan kes berkenaan kerana Lubnan tidak lagi boleh menghadapi situasi jika seorang lagi hakim disingkirkan.

Namun, beliau mendakwa Tarek kononnya melanggar perlembagaan dengan memburu pelaku bertanggungjawab selepas beliau berhempas-pulas menjejaki saksi berprofil tinggi untuk tampil memberi keterangan.

“Beliau tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak sendiri kerana perlembagaan menetapkan prosedur pendakwaan ke atas presiden dan menteri yang perlu dijalankan oleh mahkamah khas,” ujarnya.

Pada Julai lalu, Tarek mengemukakan tuntutan kepada Parlimen untuk menarik balik imuniti Nohad, bekas Menteri Kewangan, Ali Hassan Khalil dan bekas Menteri Kerja Awam, Ghazi Zaiter bagi membolehkan mereka disoal siasat. Beliau juga meminta Ketua Keselamatan Negara dan bekas komander tentera, Jean Kahwagi disiasat.

Tetapi, Parlimen menolak permintaan itu, malah gerakan Hizbullah menuduh Tarek kononnya bersikap berat sebelah. Laporan awal mendakwa letupan berpunca daripada 2,750 tan ammonium nitrat yang disimpan di pelabuhan Beirut sejak 2014, namun apa yang mencetuskan kebakaran berkenaan masih tidak jelas.

Ia sekali gus mendedahkan kecuaian dan kegagalan pegawai kerajaan serta agensi keselamatan untuk bertindak walaupun mereka sedar dengan risiko simpanan bahan kimia berbahaya itu.

Sehingga kini, lebih 20 individu yang kebanyakannya ialah pegawai kastam dan pelabuhan telah ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan, namun dalang sebenar masih bebas.

Penangguhan siasatan turut mendapat perhatian pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty Antarabangsa yang menyifatkan ia sebagai tindakan pengabaian oleh kepimpinan politik terhadap hak mangsa.

Malah, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga menggesa ‘siasatan telus’ terhadap tragedi berkenaan.

Sehingga kini, siasatan yang dilancarkan sejak lebih setahun ke atas tragedi menggemparkan itu masih belum dapat mengenal pasti pelaku sebenar kerana amalan ‘perlindungan politik’ secara berterusan.

* Lissa Kamal ialah Wartawan Meja Global, Sinar Harian