Data empat juta rakyat Malaysia dalam bahaya

Sindiket menggunakan taktik dengan mengambil alih akuan media sosial seseorang individu.
Sindiket menggunakan taktik dengan mengambil alih akuan media sosial seseorang individu.
A
A
A

MALAYSIA sedang berhadapan dengan krisis keselamatan data peribadi rakyat dan pastinya kejadian seperti ini bukan kali pertama berlaku dalam negara.

Hari ini orang ramai dikejutkan dengan kebocoran data peribadi empat juta rakyat Malaysia milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang didakwa telah dibocorkan dan cuba dijual secara dalam talian dengan harga RM35,000.

Data yang membabitkan individu berusia antara 23 hingga 43 tahun itu dijual di forum pasaran pengkalan data yang terkenal.

Penjual untuk forum tersebut mendakwa ia mengandungi data peribadi rakyat Malaysia yang diperoleh daripada portal rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) yang dibuat untuk myIDENTITY.

Sementara itu, pihak polis turut mengesahkan satu kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan kecurian empat juta data awam tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din juga tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan orang dalam.

Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti punca sebenar kecurian tersebut.

Kebocoran maklumat merupakan jenayah berat yang perlu diambil serius oleh pihak berkuasa kerana ia boleh memberi ancaman buruk pada keselamatan negara.

Artikel Berkaitan:

Tahap keselamatan siber negara juga perlu diperketat agar tidak akan wujud peluang dan ruang untuk penggodam melakukan jenayah yang boleh membahayakan negara.

Apa yang pasti, jika benar ada ‘orang dalam’ yang berani menjual maklumat sulit kepada orang luar, individu tersebut perlu dikenakan hukuman berat yang setimpal dengan tindakannya.

Diharapkan dengan kejadian seperti ini, kerajaan akan lebih peka dan mengambil pendekatan lebih proaktif untuk memastikan data sulit negara tidak akan mudah ditembusi oleh mana-mana pihak yang berniat jahat.

Kita tidak mahu rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap tahap keselamatan sistem pangkalan data kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!