Iktiraf individu dalam industri e-hailing, p-hailing sebagai pekerja
SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengiktiraf status individu yang terlibat dalam industri e-hailing dan p-hailing sebagai pekerja dilindungi oleh Akta 1955 dan akta-akta lain berkaitan.
Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda, Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaluddin berkata, ia merupakan salah satu daripada lima resolusi diketengahkan dalam Sidang Meja Bulat Mengenai Tuntutan Hak Penghantar Malaysia yang berlangsung pada 20 September lalu.
“Sebagai rujukan, terdapat lebih kurang 10 negara yang sudah mengiktiraf pekerja gig ini sebagai pekerja.
“Contohnya, di United Kingdom (UK) baru-baru ini, terdapat 70,000 pekerja Uber di sana yang sudah diiktiraf sebagai pekerja, manakala di Sepanyol juga mewujudkan undang-undang ‘rider’ untuk pekerja gig atau yang terkait dengan p-hailing.
“Apabila wujudnya akta ini, maka akan ada gaji minimum untuk rakan penghantar dan jaminan keselamatan sosial, kalau di sini dipanggil Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Live Edisi ke-292 bertajuk Nasib Si ‘Penghantar’ pada Selasa.
Turut menjadi panel, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Bahari Mansor dan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor serta Ismail Adnan sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Fairuz berkata, selain itu, sidang meja bulat tersebut menuntut kerajaan supaya mewujudkan peraturan dan sebuah badan kawal selia yang mengkaji keperluan regulasi adil serta realistik untuk penyedia perkhidmatan dan rakan penghantar.
“Kami turut mencadangkan kerajaan dapat memberi bantuan yang berkesan dan efektif kepada penghantar menerusi Bajet 2022.
“Selain itu, penyedia perkhidmatan perlu menjamin pekerjaan penghantar dengan menangguhkan semua penggantungan dan penamatan khidmat penghantar pada masa terdesak iaitu semasa pandemik Covid-19 ini.
“Pada sidang meja bulat tersebut juga kita bersetuju membentuk task force tuntutan hak penghantar Malaysia yang dianggotai oleh Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda, Pergerakan Pemuda UMNO, MTUC dan wakil-wakil persatuan e-hailing serta p-hailing,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!