Penyelia lombong kena tipu, rugi RM55,7000
KUANTAN - Seorang penyelia lombong bijih timah kerugian RM55,700 selepas ditipu individu yang menawarkan kerja sambilan melalui aplikasi 'Nice Jobs' sejak 22 Ogos lalu.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 38 tahun menyedari dirinya ditipu selepas tidak memperoleh komisen dijanjikan sebaik sahaja selesai menjalankan urus niaga menggunakan aplikasi itu.
Menurutnya, kejadian bermula apabila mangsa mengenali suspek melalui media sosial Facebook sejak April lalu dan suspek dikenali atas nama Ting kemudian menawarkan mangsa melakukan kerja sambilan sebagai pendapatan tambahan.
"Suspek seterusnya menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp menggunakan dua nombor berbeza dan meminta mangsa memuat naik aplikasi 'Nice Jobs' bagi memulakan kerja sambilan itu.
"Suspek memberi jaminan mangsa memperoleh komisen antara 10 hingga 15 peratus daripada harga barangan yang dibeli pelanggan, tetapi perlu membuat pembayaran terlebih dahulu barangan yang dipesan pelanggan melalui aplikasi itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, mangsa berminat dan membuat tiga kali pemindahan wang ke tiga akaun berbeza diberikan suspek antara 22 Ogos hingga 2 September lalu, bagi tujuan pembelian barangan dipesan pelanggan melalui 'Nice Jobs'.
Tambah beliau, pemindahan wang yang dilakukan mangsa dianggarkan berjumlah RM55,700 namun sehingga Selasa mangsa masih belum menerima komisen dijanjikan suspek hasil urus niaga berkenaan.
"Mangsa kemudian cuba mengakses aplikasi 'Nice Jobs' menggunakan kata laluan diberikan suspek, namun ia tidak boleh diakses.
"Susukan itu mangsa merasakan dirinya ditipu dan membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada petang Selasa," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, Mohd Wazir memaklumkan pihaknya sedang mengesan suspek dan sudah meminta kerjasama pihak bank bagi mengenal pasti pemilik akaun digunakan suspek dalam kes itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!