Singapura lapor lebih 2,000 kes baharu Covid-19, 5 kematian
SINGAPURA - Singapura pada Selasa melaporkan 2,236 kes baharu Covid-19, buat pertama kali melepasi angka 2,000 sejak wabak itu bermula tahun lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan Singapura 1,711 kes dikesan dalam komuniti, 515 di asrama pekerja migran dan 10 kes import.
Berdasarkan data terkini, 1,325 kes kini ditempatkan di hospital antaranya 209 adalah kes serius yang memerlukan bantuan oksigen dan 30 dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Sejak 28 hari lalu, daripada 24,005 individu yang dijangkiti, 98.0 peratus tidak mengalami atau bergejala ringan, 1.7 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus di ICU dan 0.1 peratus pesakit meninggal dunia.
Kementerian itu memaklumkan lima lagi kes - kesemuanya warga emas Singapura - telah meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 pada Selasa, menjadikan jumlah korban untuk bulan ini sebanya 30 orang.
Pada 27 September, sebanyak 82 peratus penduduk sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan 85 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Singapura sudah memberikan sejumlah 9,128,419 dos vaksin Pfizer-BioNTech Comirnaty dan Moderna di bawah program vaksinasi kebangsaan termasuk 172,090 dos penggalak.
Di samping itu, 194,270 dos vaksin lain yang diiktiraf untuk penggunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah diberikan kepada 97,311 individu.
Sehingga tengah hari Selasa, jumlah kes di republik ini sebanyak 91,775 dengan 15,469 kes aktif dan 85 kematian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!