5 strategi MAFI pastikan keselamatan makanan ketika pandemik

Ahmad Hamzah
Ahmad Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah merangka Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 (Pelan Tindakan DSMN) bagi meningkatkan daya tahan sistem makanan agar kekal utuh dalam menghadapi sebarang tekanan.

Timbalan Menteri MAFI 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, menerusi pelan terbabit, terdapat lima strategi utama yang telah digariskan.

“Pertama, memperluaskan adaptasi teknologi dalam sistem makanan sebagai langkah pragmatik untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti sistem berteraskan skala ekonomikal dan pertanian mampan.

“Kedua, memperkasakan penyelidikan dan pembangunan berteraskan sekuriti makanan ke arah meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan dan input pertanian seperti makanan ternakan, baka dan benih berkualiti secara domestik.

“Ketiga, memperkasa ketersediaan data sekuriti makanan bagi mengenal pasti dan memantau tahap sekuriti makanan penduduk Malaysia berdasarkan lokaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) berhubung strategi dalam memastikan keselamatan makanan tidak terjejas khususnya ketika negara berhadapan situasi pandemik Covid-19 ketika ini.

Mengulas lanjut, Ahmad menambah, strategi keempat dalam Pelan Tindakan DSMN adalah menterjemah aspirasi keselamatan makanan sebagai tanggungjawab bersama dengan memfokuskan usaha memperluas kolaborasi strategik berteraskan sekuriti makanan antara kementerian, kerajaan-kerajaan negeri dan sektor swasta.

“Kelima, memperkukuh tadbir urus merentas jabatan dan agensi untuk merapatkan jurang dalam sistem makanan bagi meningkatkan kecekapan pemantauan sekuriti makanan negara,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahmad, pihaknya yakin strategi-strategi yang telah dikenal pasti akan dapat menyumbang kepada usaha untuk memperkukuh sekuriti makanan negara.

“Kerajaan sentiasa komited untuk terus memperkukuh sekuriti makanan negara supaya kekal terjamin dalam apa jua keadaan.

“Ini dapat dilihat menerusi usaha-usaha pemerkasaan sistem makanan negara bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan yang cukup, selamat, bernutrisi dan mampu beli,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!