RCI Wang Kelian bertepatan komitmen kerajaan

Muhyiddin (kiri) semasa sesi sidang media selepas Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan Kem Penempatan Sementara dan Kubur di Wang Kelian, Perlis di Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin (kiri) semasa sesi sidang media selepas Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan Kem Penempatan Sementara dan Kubur di Wang Kelian, Perlis di Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - "Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Wang Kelian adalah amat bertepatan dengan komitmen kerajaan untuk mencari kebenaran yang telus dan bebas berhubung tragedi penemuan sejumlah kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015," kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata penubuhan suruhanjaya itu dibuat apabila banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan siasatan yang telah dijalankan, seterusnya menjejaskan imej negara.

“Ini secara langsung mengundang persepsi tidak baik kepada negara...walaupun (penubuhan) agak lambat tetapi ia masih tidak terlambat.

“Kami jangka apabila (siasatan) selesai, tidak berbangkit isu yang Malaysia tidak berbuat apa-apa berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelantikan anggota suruhanjaya berkenaan di sini hari ini.

Pada tahun 2015, negara dan dunia dikejutkan dengan tragedi kemanusiaan yang berlaku di kawasan sempadan antarabangsa Malaysia susulan penemuan sejumlah kubur dan beberapa kem transit di Wang Kelian, Perlis, yang dikaitkan dengan aktiviti jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Sejumlah 147 tapak kubur dengan 130 rangka manusia ditemui dan susulan itu 44 warga asing ditangkap. Tindakan perundangan juga telah diambil di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dengan empat rakyat asing dituduh serta disabitkan dengan kesalahan penyeludupan migran.

Tragedi yang melibatkan etnik Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh sebagai mangsa itu turut menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

Terdahulu berucap pada majlis itu, Muhyiddin berkata kejadian itu telah mencalar imej Malaysia di mata dunia dan sebagai sebuah negara yang berdaulat dan bermaruah, Malaysia memandang serius tragedi yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan yang diambil oleh Malaysia melalui pewujudan Suruhanjaya Siasatan Diraja membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu yang tidak berperi kemanusiaan itu,” katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan pelantikan anggota RCI itu terdiri daripada bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebagai pengerusi dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai sebagai timbalan pengerusi serta lima anggota jawatankuasa suruhanjaya itu.

Muhyiddin percaya iltizam kerajaan boleh diterjemahkan dengan baik melalui pelantikan anggota suruhanjaya yang berpengalaman dan berwibawa itu dan meminta semua pihak agar tidak mempertikaikan pelantikan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!