Eksport terus pacu pemulihan Malaysia

No Image Caption
A
A
A

PRESTASI perdagangan Malaysia meningkat pada bulan Ogos, disokong oleh permintaan luaran yang menggalakkan untuk cip semikonduktor serta pengukuhan harga minyak, kata Moody's Analytics.

Lebihan perdagangan negara mengembang kepada RM21.4 bilion pada bulan Ogos daripada RM13.7 bilion pada bulan Julai.

Ini dipacu oleh peningkatan eksport yang menokok 18.4 peratus tahun ke tahun (y-o-y), sementara import meningkat 12.5 peratus tahun ke tahun.

"Pertumbuhan eksport akan terus mendorong pemulihan ekonomi Malaysia hingga ke tahun 2022, walaupun risiko gangguan rantaian bekalan daripada sekatan pergerakan yang disebabkan oleh Covid-19 masih mengaburkan prospek.

"Kami masih mengharapkan peningkatan permintaan untuk barang-barang pembuatan dan penjualan komoditi yang tinggi dapat melonjakkan eksport Malaysia dalam beberapa bulan mendatang," kata Moody's Analytics dalam catatan penyelidikannya pada Rabu.

Sementara itu, AmBank Research berpendapat, pertumbuhan eksport tahun ke tahun yang lebih cepat pada bulan Ogos, melepasi konsensus pasaran sebanyak 14.6 peratus mencerminkan keadaan permintaan luaran yang sihat dan berterusan di tengah-tengah kesan asas yang rendah.

Ia menambah pertumbuhan eksport yang positif dilihat di ketiga-tiga sektor utama dengan didahului oleh eksport komoditi.

Eksport perlombongan melonjak 50.6 peratus tahun ke tahun pada bulan Ogos disokong oleh permintaan kukuh untuk gas asli, yang meningkat dengan ketara sebanyak 110.2 peratus tahun ke tahun.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, eksport pertanian turut mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 28.5 peratus tahun ke tahun pada bulan Ogos, sebahagian besarnya dipacu oleh eksport minyak sawit yang mengukuh 41.5 peratus tahun ke tahun.

Namun begitu, firma penyelidikan itu berpendapat prospek permintaan luaran agak suram disebabkan oleh kebimbangan yang berterusan ke atas rantaian bekalan, kekurangan input dan harga tenaga yang tinggi.

Selain itu, momentum pertumbuhan yang sederhana di Amerika Syarikat (AS) dan China menambah kebimbangan mengenai kekuatan permintaan global, kata AmBank Research. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!