Citra UKM anjur persidangan antarabangsa pertama

Mohd Ekhwan Toriman dan Tunku Zain Al-‘Abidin
Mohd Ekhwan Toriman dan Tunku Zain Al-‘Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Pengajian Citra Universiti (Pusat Pengajian Liberal), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) buat julung kalinya menganjurkan persidangan antarabangsa mengumpulkan para penyelidik akademik, institusi penyelidikan dan industri bagi meningkatkan perbatasan pengetahuan, pengalaman serta kepakaran dalam bidang kajian liberal.

Presiden Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz berkata, dalam menjalankan amalan latihan terbaik bidang kajian liberal, penting untuk pelajar memahami cabaran dan pengalaman yang berjaya dilaksanakan oleh negara lain.

“Berdasarkan perspektif dasar awam, saya berharap penemuan dan kesimpulan melalui persidangan ini akan memberi makna penting kepada semua dan boleh dibincangkan oleh ahli politik serta birokrat.

“Saya juga sangat teruja dengan senarai topik yang bakal dibentangkan antaranya berkaitan teknologi sains, kelestarian dan masyarakat, bahasa dan pengurusan pendidikan, nilai etika agama dan falsafah serta pemerintahan dan dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Citra 2021 (iCitra) secara maya yang pertama dengan tema Mastery of Multidisciplinary and inter-Disciplinary Skills and Competencies pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai sebuah institusi yang terkehadapan dalam aspek pendidikan multidisiplin, Citra UKM diyakini mampu menyediakan platform terbaik dalam melahirkan graduan minda kelas pertama untuk menghadapi cabaran dan pembangunan ekonomi berdasarkan pengetahuan serta inovasi mereka.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, persidangan yang berlangsung pada 29 hingga 30 September itu turut membawakan penceramah antarabangsa dari Singapura, Filipina, Jepun, dan Belgium dengan pengisian dua ucapan dasar, tiga sesi plenari, dua forum, empat sesi selari serta pembentangan poster.

“Kami juga mempunyai pemain industri dan badan bukan kerajaan yang akan berkongsi perspektif mereka mengenai kajian liberal ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!