Fasa 3 PPN: Institusi memandu tak menang tangan
KUANTAN - Peralihan negeri Pahang dari Fasa Dua ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 24 September lalu turut memberi kelegaan kepada institusi memandu.
Peralihan fasa itu membolehkan institusi memandu beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) iaitu tiada syarat wajib bagi pekerja, tenaga pengajar dan calon menerima vaksin, namun digalakkan menerima vaksin lengkap bagi menghadiri sesi latihan dan ujian.
Pengusaha Akademi Memandu Kuantan, Rusli Mustapha, 58, berkata, selepas peralihan fasa itu, jumlah kehadiran calon kembali meningkat berbanding sebelum ini.
Rusli berkata, beliau bersyukur kerana situasi semakin baik dan kembali normal selepas beberapa bulan tidak dapat beroperasi sebelum ini.
"Tidak menang tangan kami selepas menerima kehadiran calon termasuk yang baru berdaftar.
"Diharap semua yang terlibat termasuk calon dapat mematuhi SOP ditetapkan untuk mengelakkan jangkitan," katanya.
Akademi Memandu Kuantan mula beroperasi pada 2013 di Batu 6, Jalan Gambang dengan kekuatan 70 orang guru memandu.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Latihan Memandu Cermat Pahang Timur, Razif Mat Dom, 38, berkata, jumlah calon yang berdaftar di pusat itu juga semakin bertambah.
Razif berkata, pihaknya tetap mengambil pendekatan berhati-hati antaranya mewajibkan setiap calon membuat janji temu terlebih dahulu selain hanya calon yang berisiko rendah dibenarkan memasuki premis.
"Kita berharap situasi ini terus positif dan semua pihak terlibat termasuk calon dapat mematuhi SOP ditetapkan," katanya yang turut memberitahu pusat itu telah beroperasi sejak 26 tahun lalu.
Pemilik sekolah memandu, Ez Driving Skill Enterprise, Fauzi Mohd Noor,46, juga menyifatkan situasi positif itu membuatkan sekolah memandu sepertinya dapat bernafas kembali selepas menempuh detik sukar selama empat bulan.
"Syukur, selain calon-calon yang tertangguh sebelum ini, memang ada peningkatan calon baru datang mendaftar," katanya.
Dalam pada itu, seorang calon, Mullianne Nurfateha Malikka Arachchige Wasantha Amarasiri Jayasumana,19, dari Mentakab berkata, kini dia dapat menyambung semula proses mengambil lesen yang tertangguh lebih setahun akibat pandemik Covid-19.
"Saya mula mendaftar sejak April tahun lalu dan kini saya sedang berusaha melengkapkan latihan dan proses seterusnya sebelum mendaftarkan diri ke Universiti Malaya (UM) pada 15 Oktober nanti," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!