JAS Johor kompaun dua kilang logam
JOHOR BAHRU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengeluarkan enam kompaun terhadap dua kilang berasaskan logam dalam satu operasi penguatkuasaan di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang di sini pada Rabu.
Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, kesemua kompaun bernilai RM12,000 itu dikeluarkan selepas didapati berlaku kesalahan berkaitan pengurusan buangan berjadual.
"Kompaun dikeluarkan adalah hasil daripada pemantauan unit penguatkuasaan industri JAS Johor bagi memastikan Akta 127 dan Akta 342 sentiasa dipatuhi.
"Hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati dua premis di kawasan ini gagal mematuhi pengurusan buangan berjadual melibatkan penstoran, pelabelan, notifikasi yang boleh menyebabkan tumpahan buangan berjadual," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Mohd Famey berkata, pihaknya juga akan melakukan pemantauan lanjut selain memastikan tindakan terus diambil ke atas premis-premis sekiranya didapati melanggar Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Dalam pada itu, Mohd Famey turut menasihatkan orang ramai khususnya pengusaha kilang untuk sentiasa peka mengenai kaedah pelupusan bahan terjadual yang dibenarkan.
"Ketika pemeriksaan dibuat, kebanyakan daripada kes-kes ini adalah mereka (kilang) tidak memberi maklumat tepat bagaimana mereka melupuskan bahan-bahan terjadual. Perkara ini adalah penting untuk kita pastikan bagaimana bahan ini dibuang.
"Ini juga adalah bagi memastikan tidak berlaku pembuangan sisa secara haram sekali gus mengakibatkan pencemaran ekosistem yang boleh membahayakan orang awam atau habitat semula jadi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!