Kerajaan perlu bentang baik, buruk beri kelulusan tanam hem
KUALA LUMPUR - Kerajaan disyor supaya membentangkan satu kertas kerja untuk menilai baik dan buruk dalam memberi kelulusan penanaman hem iaitu tumbuhan dari spesies ganja bagi tujuan perubatan di negara ini.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) berkata, sudah tiba masanya penelitian bersandarkan data dan sains berhubung perkara itu dibuat bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan.
Menurutnya, ketika ini lebih 40 buah negara telah memberi kelulusan penanaman hem untuk tujuan perubatan alternatif.
"Kita tidak mahu lagi Malaysia ke belakang dan ketinggalan. Jangan kita ketepikan perbincangan berkenaan isu ini hanya kerana ia sensitif walhal kajian yang dibentangkan menunjukkan sebaliknya (positif).
"Jadi, saya harap kerajaan membincangkan perkara ini berdasarkan data dan sains mengenai baik dan buruknya dalam memberi kelulusan penanaman hem bagi tujuan perubatan," katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Syed Saddiq berkata, kerajaan juga disyor supaya mewujudkan satu jawatankuasa khas yang diwakili oleh semua kementerian berkaitan.
"Sebagai contoh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk kawal selia dengan baik dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pastikan data dan sains yang jelas.
"Kita mesti bincangkan isu ini kerana kita tidak mahu lagi ketinggalan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!