Rakyat Kelantan perlu bersedia tempuh fasa endemik
KOTA BHARU - Rakyat Kelantan perlu bersedia menempuh peralihan ke fasa endemik Covid-19 yang dijangka bakal bermula pada hujung Oktober ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, dalam tempoh sama kesemua 24 pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini juga akan ditutup.
Menurutnya, setakat ini kadar vaksinasi Covid-19 di Kelantan mencapai 94 peratus bagi dos pertama dan akan lengkap dos kedua pada dua minggu lagi.
“PPV yang akan ditutup itu termasuk 20 PPV awam dan empat lagi integrasi di seluruh daerah.
“Sebahagian besar daripada PPV itu akan ditutup bermula minggu hadapan sehingga pertengahan Oktober ini sebelum ditutup sepenuhnya pada akhir bulan,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim di sini.
Dr Izani berkata, bagi individu yang belum menerima vaksin, mereka boleh berhubung dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengambil suntikan selepas ini.
“Kerajaan sudah melakukan yang terbaik dan ada tempoh sebulan lagi untuk kita perlu menyesuaikan diri dengan pandemik sebelum peralihan ke fasa endemik.
“Kita kena berhati-hati, dua tahun sudah kita belajar tentang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan sekarang terserah pada kita untuk membawa diri masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan yang lain, Dr Izani berkata, sehingga Rabu, pemberian vaksin Covid-19 dalam kalangan remaja berusia 16 dan 17 tahun di negeri ini mencapai 80 peratus.
“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana sambutan suntikan vaksin dalam kalangan remaja amat menggalakkan.
“Ketika ini, kes di Kelantan masih tinggi dan saya menasihatkan orang ramai tidak pandang remeh terhadap SOP walaupun sudah lengkap dua dos vaksin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!