Terengganu terima RM1.3 juta jayakan Program Kebuniti
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM1.3 juta daripada kerajaan Pusat bagi menjayakan Program Kebuniti pada tahun ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, ia sebagai sokongan bagi meneruskan aktiviti pertanian yang dimulakan sejak tahun lepas dengan peruntukan berjumlah RM250,000.
"Golongan sasar program ini adalah belia, badan bukan kerajaan (NGO), perumahan bandar dan pinggir bandar, institusi kerajaan atau swasta dan komuniti khususnya luar bandar.
"Konsep program ini mengguna pakai kaedah penanaman konvensional, sistem hidroponik, sistem fertigasi dan lain-lain kaedah penanaman sesuai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada Majlis Penyerahan Peralatan Program Kebuniti 2.0 dan Perasmian Kabin Tanaman Pintar di Pusat Informasi Pertanian Bandar, Batu Burok di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Pertanian Terengganu, Zulkifli Amin Yusof.
Menurut Dr Azman, seramai 2,800 individu dan 55 komuniti di seluruh Terengganu telah menyertai program pada tahun ini dan menerima kit pertanian bandar berupa tanah serta alat hidroponik untuk mula bertani.
Beliau berkata, program ini bertujuan mewujudkan aktiviti pertanian untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan selain peluang pekerjaan serta pengurangan kos sara hidup.
Selain itu katanya, ia juga mampu mewujudkan interaksi sosial dan menggalakkan komunikasi dalam kalangan komuniti bandar serta membantu menguruskan kelestarian alam sekitar.
"Selain pengeluaran hasil tanaman untuk kegunaan sendiri, projek ini telah ditambah baik dengan penjualan bahan tanaman, penghasilan produk hiliran dan kitar semula sisa organik untuk digunakan semula sebagai baja kompos," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!