Audit: Pemantauan penguat kuasa SWCorp lemah

SWCorp
SWCorp
A
A
A

SHAH ALAM- Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 merumuskan, Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PSPPA) di negara ini masih belum mencapai objektif yang ditetapkan.

Laporan yang dikeluarkan itu turut memaklumkan, pemantauan penguat kuasa SWCorp (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) di lapangan yang lemah semasa melaksanakan kawal selia terhadap perkhidmatan syarikat konsesi telah menyebabkan berlaku lebihan bayaran kepada syarikat konsesi.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, hasil pengauditan yang dilakukan juga mendapati, prestasi perkhidmatan oleh syarikat konsesi kurang cekap dan berkesan kerana masih terdapat ketidaksempurnaan kerja.

“Di samping itu, walaupun pelbagai program dilaksanakan, ia tidak memberikan kesan yang ketara dalam mengurangkan sisa pepejal.

“Selain itu, terdapat kelemahan dalam struktur pengurusan penswastaan, pencapaian kewangan, proses bayaran, pelaksanaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam serta pengurusan sistem maklumat,” katanya menerusi LKAN 2019 Siri 2 yang dikeluarkan pada Selasa.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Nik Azman berkata, bagi memastikan kelemahan yang dibangkitkan tidak berulang pada masa hadapan dan PSPPA dapat dilaksanakan dengan baik, pihak audit mengesyorkan supaya SWCorp mengambil beberapa tindakan.

Skop perkhidmatan syarikat konsesi.
Skop perkhidmatan syarikat konsesi.

Antaranya yang perlu dilakukan adalah mengkaji semula kaedah pengasingan sampah dari punca dan program kitar semula yang dilaksanakan bagi menentukan keberkesanannya dalam mengurangkan penjanaan sisa pepejal.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kajian semula terhadap faktor janaan sisa pepejal dan kaedah yang sesuai serta terbaik untuk pengumpulan data kitar semula perlu dilaksanakan untuk menggambarkan keadaan sebenar.

“SWCorp juga perlu memastikan sebarang perkara berkaitan perkhidmatan konsesi dibincangkan dan diputuskan dalam jawatankuasa yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi supaya wujud unsur semak dan imbang bagi menjamin kepentingan kerajaan.

“Ini kerana jawatankuasa yang ditetapkan turut dianggotai agensi luar iaitu wakil UKAS (Unit Kerjasama Awam Swasta) dan MOF (Kementerian Kewangan) yang boleh memberikan pandangan bagi pihak kerajaan.

“Selain itu, perlu tambah baik kaedah pemantauan di lapangan semasa melaksanakan kawal selia terhadap perkhidmatan syarikat konsesi agar pengesahan terhadap pengesyoran bayaran dibuat dengan betul bagi mengelakkan berlaku lebihan bayaran serta sistem iJadual dan LSK (Laporan Siap Kerja) disepadukan dengan sistem bayaran bagi meningkatkan kecekapan bayaran,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!