Kematian dua pelajar sebab penyakit lain, tiada kaitan vaksinasi

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kematian dua pelajar Sekolah Menengah Tasek Damai, Ipoh, Perak tiada kaitan dengan vaksinasi Covid-19 sebagaimana ditularkan.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kematian membabitkan seorang pelajar perempuan dan lelaki masing-masing berusia 17 tahun adalah disebabkan penyakit lain.

"Bagi pelajar perempuan, dia adalah seorang pesakit yang mempunyai penyakit kencing manis jenis satu yang bergantung kepada rawatan insulin," katanya.

Jelas beliau, pelajar perempuan tersebut telah dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia pada 18 Ogos lalu sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula.

"Bagi pelajar lelaki pula, dia menghidap penyakit jantung kongenital," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dr Noor Azmi berkata, pelajar berkenaan telah dibawa ke unit kecemasan hospital akibat jangkitan kuman yang teruk.

"Bantuan pernafasan dan resusitasi telah diberikan, namun pelajar itu meninggal dunia pada 17 September lalu," katanya.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (CITF-A) berkata, kedua-dua pelajar itu bagaimanapun belum menerima vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Punca kematian adalah ‘Sepsis with Underlying Congenital Health Disease," jelas beliau.

Sebelum ini, sebuah video berdurasi 1:42 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita mendakwa beberapa pelajar mengalami kesan samping (AEFI).

Selain dua pelajar Sekolah Menengah Tasek Damai tersebut, seorang pelajar di Lahad Datu, Sabah turut didakwa meninggal dunia selepas mengambil vaksin.

Sementara itu, mengulas mengenai dua lagi pelajar berusia 16 dan 18 tahun yang juga adik beradik, beliau berkata, kedua-duanya dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ipoh selepas mengalami kesan samping vaksin Comirnaty.

"Remaja berusia 16 tahun telah dibenarkan keluar dari hospital, manakala remaja berusia 18 tahun masih dalam rawatan dan pemerhatian doktor pakar di hospital tersebut," katanya.

Beliau berkata, semakan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagaimanapun mendapati laporan kesan sampingan kedua-dua beradik itu masih belum diterima.

"KKM ingin menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta

yang mengesyaki pesakit mereka mengalami AEFI untuk segera membuat laporan kepada NPRA," katanya.

Dr Noor Azmi turut menasihatikan semua pihak yang ingin membuat kenyataan umum agar bersedia untuk bertanggungjawab ke atas kesan dan implikasi daripada tindakan tersebut.

"Penyebaran maklumat yang tidak benar kepada masyarakat adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab," katanya.

Tambah beliau, kenyataan salah akan menyebabkan kekeliruan dan salah tanggapan ibu bapa terhadap PiCK-Remaja.

Malah, katanya, ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan untuk memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin.

"Ini kerana kesan sampingan selepas vaksinasi boleh berlaku dan kebanyakannya adalah ringan.

"Sila bawa anak atau tanggungan ke fasiliti kesihatan dengan segera untuk rawatan sekiranya mengalami gejala selepas menerima vaksin seperti sakit dada, sukar bernafas, berdebar-debar, bengkak dan gatal pada tubuh yang teruk," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: KKM dapatkan fakta dakwaan pelajar meninggal selepas vaksinasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!