RMK12: MP Sabah, Sarawak mahu pembangunan seimbang ditingkatkan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penekanan dan tumpuan pembangunan lebih seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar perlu ditingkatkan lagi dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) terutamanya di Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan perbahasan Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri itu di Dewan Rakyat pada Rabu.

Antara yang menyuarakan perkara itu ialah Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar), yang menyatakan bahawa saiz geografi yang besar bermaksud akses kepada kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, internet dan jalan raya adalah amat diperlukan walaupun proses penyediaannya adalah lebih mencabar.

“Melalui RMK12 ini, diharapkan kerajaan dapat melihat kepada aspek regulasi, keseimbangan polisi, struktur perlindungan sosial dan penggubalan dasar secara total dalam jangka masa panjang,” katanya pada hari kedua sesi perbahasan RMK12.

Turut membangkitkan isu sama, Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang menyentuh mengenai kemiskinan di bandar dan luar bandar.

Beliau menyatakan program membasmi kemiskinan dalam tempoh lima tahun akan datang, perlulah difokuskan kepada sasaran yang telus dan berimpak terhadap kedudukan ekonomi golongan sasar, selain mengupayakan anak muda yang tidak dapat meneruskan pelajaran ke peringkat tertiari.

Ahmad Hassan (Warisan-Papar) pula berkata, isu ketidaksamaan pembangunan fizikal dan sosial serta ekonomi Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung tidak akan dapat diselesaikan selagi tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak ditunaikan Kerajaan Persekutuan.

Menyentuh isu kesalinghubungan di Sabah dan Sarawak, Datuk Rozman Isli (Warisan-Labuan) pula berkata, pelabuhan dan lapangan terbang yang dihubungkan dengan lebuh raya atau kereta api adalah perlu bagi menarik lebih banyak pelaburan ke dua negeri berkenaan.

“Dalam melonjakkan pendigitalan dan teknologi, pastikan Sabah dan Sarawak juga akan mempunyai kelajuan dan kestabilan internet setaraf dengan Semenanjung,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!