Najla Bouden Romdhane PM wanita pertama Tunisia
TUNIS - Presiden Tunisia, Kais Saied pada Rabu menamakan ahli geologi, Najla Bouden Romdhane sebagai Perdana Menteri wanita pertama di negara itu, kira-kira dua bulan selepas beliau menggunakan kuasa eksekutif untuk menggantung Parlimen.
"Presiden telah memberi tanggungjawab kepada Najla untuk membentuk kerajaan secepat mungkin," menurut kenyataan pejabat beliau di Facebook.
Pejabat Presiden turut berkongsi rakaman video memaparkan Kais bertemu dengan Najla selepas pemimpin itu berulang kali menekankan pelantikan wanita itu sebagai mencipta sejarah dan satu penghormatan kepada golongan tersebut.
Pemilihan Najla, 63, sekali gus menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri Turnisia ke-10 sejak gelombang Arab Spring menggulingkan pemerintahan bekas pemimpin diktator, Zine El Abedine Ben Ali pada tahun 2011.
Wanita berasal dari Kairouan itu merupakan bekas pengarah projek pembaharuan pendidikan tinggi atau PromESsE dan pernah memegang jawatan kanan di Kementerian Pendidikan Tinggi.
Najla juga adalah pemegang Ijazah Kedoktoran dalam bidang kejuruteraan geologi dan pernah bergelar pensyarah di pusat pengajian kejuruteraan kebangsaan di Tunis.
Menurut Kais, misi baharu kerajaan berkenaan adalah untuk menghentikan rasuah dan kekacauan yang berlaku di kebanyakan institusi di negara tersebut.
Pada 25 Julai lalu, pemimpin tersebut bertindak tegas memecat anggota kabinet di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Hachim Mechichi dan turut menggantung Parlimen serta menarik balik imuniti selepas Tunis berdepan kebuntuan politik selama beberapa bulan berikutan krisis ekonomi dan ketidakcekapan dalam mengendalikan pandemik Covid-19.
Kira-kira dua bulan selepas itu, beliau turut melanjutkan tempoh penggantungan Parlimen walaupun berdepan desakan banyak pihak terutamanya puak penentang yang mendakwa Kais melakukan rampasan kuasa. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!