Zii Jia jangka Momota tampil lebih 'berbisa'

Zii Jia FOTO: AFP
Zii Jia FOTO: AFP
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, menjangkakan Kento Momota akan tampil dengan prestasi lebih baik ketika pertembungan antara Malaysia dan Jepun bagi menentukan juara Kumpulan D Piala Sudirman 2021, malam Khamis.

Momota yang beraksi buat kali pertama selepas kecewa tersingkir seawal aksi peringkat kumpulan pada Sukan Olimpik Tokyo, dilihat masih bergelut dengan prestasi kurang memuaskan ketika menentang pemain ranking 205 dunia Johnnie Torjussen dari England, sebelum mencatat kemenangan 22-20, 21-10 pada Selasa.

Walaupun pemain nombor satu dunia itu menampilkan prestasi kurang menyerlah pada aksi di Energia Areena itu, Zii Jia percaya Momota akan kembali mendapat sentuhan berbisanya dalam masa terdekat, berdasarkan kepada karakter dimiliki pemain tersebut.

“Saya menonton perlawanannya, saya nampak dia kurang keyakinan, tapi saya percaya beliau akan tetap akan kembali lebih kuat sebab dia adalah Momota. Kita tahu sebelum ini daripada kena penggantungan, masih boleh kembali menjadi pemain nombor satu dunia.

“Saya rasa dengan karakter yang strong macam itu, bukan satu masalah yang besar untuknya kembali lebih kuat dan cari keyakinan balik,” katanya menerusi sebuah video yang dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Rabu.

Zii Jia berkata, perlawanan pada Khamis juga menjadi pertarungan yang penting antara kedua-dua pemain berkenaan, apabila Momota sedang kembali mencari rentak dan membalas dendam kepadanya, manakala juara Seluruh England itu mahu mengekalkan momentum kemenangannya.

Zii Jia, pemain ranking kelapan dunia yang tewas dalam kesemua enam pertemuan menentang Momota sejak 2017, akhirnya berjaya mencipta kejutan ke atas Momota pada suku akhir Seluruh England, sebelum beraksi cemerlang merangkul gelaran kejohanan berprestij itu.

Sejak kejuaraan Seluruh England itu pada Mac lepas, kedua-dua pemain belum bertemu pada mana-mana kejohanan.

Artikel Berkaitan:

Momota, 27, yang merupakan juara dunia sebanyak dua kali, pernah digantung daripada arena badminton bermula April 2016 hingga Mei 2017 selepas mengaku berjudi di kasino, dengan beliau terpaksa bermula kembali daripada ranking 282 dunia.

Mengenai prestasinya sendiri, Zii Jia berkata, ia agak baik dan masih mencari rentak selepas hampir dua bulan tidak beraksi selepas Sukan Olimpik Tokyo pada Ogos lepas.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, pemain negara tidak boleh mengambil mudah kemampuan Momota, walaupun pemain utama Jepun itu dilihat masih mencari rentak permainan.

“Untuk pemain kita, tak kiralah siapa yang diturunkan, sama ada Zii Jia, Ng Tze Yong atau Aidil Sholeh Ali Sadikin, mereka harus berjuang untuk kemenangan, sama ada lawannya Momota atau pemain lain,” katanya.

Malaysia dan Jepun yang masing-masing sudah layak ke suku akhir, selepas mencatatkan kemenangan ke atas England dan Mesir, akan membuat perhitungan untuk menentukan juara kumpulan. - Bernama

TAG: piala sudirman, finland, lee zii jia, kento momota, wong choong hann

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!